Tarikh 12 Mei menjadi satu detik yang paling berat dan mustahil untuk dilupakan oleh pengasas jenama bantal hotel terkenal, Das Abdul Global (DAG®).
Selepas satu dekad membina empayar yang pernah melakar nama di pelbagai papan iklan (billboard) gergasi negara, perjuangan itu akhirnya menemui titik noktah apabila kunci gudang (warehouse) terpaksa diserahkan kembali.

Momen hiba itu dikongsikan sendiri oleh pengasasnya menerusi sebuah video luahan perasaan yang tular di laman media sosial baru-baru ini.
Dalam video tersebut, dengan nada suara yang bergetar menahan sebak, beliau menceritakan sisi rapuh seorang usahawan yang terpaksa akur dengan ujian berat serta berkongsi realiti sebenar di sebalik penutupan perniagaannya.
Bukan satu pengunduran yang mudah, namun keputusan itu terpaksa diambil apabila bebanan yang ditanggung sudah tidak lagi termampu untuk dipikul.
Dari Belakang Bonet Kereta Hingga 3 Juta Biji Bantal
Mengimbas kembali memori sedekad lalu, perniagaan ini bukanlah bermula dengan modal yang besar mahupun pejabat yang mewah. Sebaliknya, ia dibina daripada titisan keringat sepasang suami isteri demi kelangsungan hidup keluarga kecil mereka.
“Kita ‘start’ daripada kecil. Kita mula Johor Bantal daripada belakang bonet kereta sambil bawa anak dua orang,”* kongsinya dalam video tersebut.
Siapa sangka, berkat usaha tanpa jemu daripada belakang bonet kereta, jenama DAG berkembang luar biasa. Dalam tempoh 10 tahun, mereka berjaya melatih ribuan ejen di seluruh Malaysia, menaikkan puluhan billboard, dan mencatatkan jualan luar biasa mencecah hampir 3 juta biji bantal.
Namun, langit tidak selalunya cerah. Putaran roda perniagaan membawa mereka ke fasa yang paling menguji. Sejak beberapa bulan lalu, segalanya berubah. Tiada lagi gudang besar, tiada lagi pejabat tersergam. Yang tinggal hanyalah semangat untuk terus bertahan.
“Bukan Kerana Air Muka Jatuh, Tapi Kerana Janji Yang Belum Ditunaikan”
Bagi pengasasnya, kejatuhan ini bukanlah sesuatu yang memalukan untuk dikongsikan kepada masyarakat. Beliau menegaskan bahawa perkongsian video ini bukan untuk meraih simpati, jauh sekali meratapi kejatuhan reputasi atau air muka.
Apa yang benar-benar merobek emosinya sebagai seorang pemimpin dan ketua keluarga adalah bebanan janji serta hutang yang masih belum dilunaskan.
“Sedih saya tu bukanlah sebab air muka jatuh atau kena cerita kat orang yang kita susah. Tapi sedih saya sebab banyak janji-janji saya yang saya tak mampu nak tunaikan. Janji saya dengan anak, dengan isteri, dengan mak ayah… dan janji saya dengan ejen-ejen saya.”
Beliau mendedahkan antara amanah berat yang masih belum tertunai adalah janjinya untuk menghantar para ejen menunaikan ibadah Umrah.
“Hutang saya masih besar lagi dengan semua orang. Saya mohon doa agar dipermudahkan urusan untuk selesaikan semuanya.”
Tamparan Ego: “Bila Allah Nak Tarik, Sekejap Sahaja…”
Kejatuhan ini turut memberikan satu tamparan hebat dan refleksi diri yang mendalam tentang erti sebuah kerendahan hati. Beliau mengakui, ketika berada di puncak kejayaan, adakalanya terselit rasa ‘hebat’ dalam diri kerana menyangka kejayaan itu adalah hasil usaha mutlak diri sendiri.
“Dulu masa berniaga memang saya rasa macam… oh sebab aku ‘training’ ejen, sebab aku pasang billboard, sebab aku pandai buat marketing, sebab tu ramai orang kenal Das Abdul. Tapi sebenarnya, walaupun benda tu kita buat, bila Allah nak tarik, macam tu je dia tak ada.”
Fasa penutupan ini diakui sangat sukar sehinggakan beliau sendiri pernah berada dalam fasa *’in denial’* (penafian) apabila pelanggan masuk ke sesi siaran langsung (live) untuk membeli bantal. Beliau sering menjawab secara spontan bahawa stok masih ada dan meminta mereka menunggu, walaupun hakikatnya operasi sudah pun dihentikan.
Bagaimanapun, beliau mengesahkan sekiranya terdapat ejen-ejen yang masih menjual bantal DAG ketika ini, ia adalah saki-baki stok lama tulen yang sedang dihabiskan dan para pelanggan tidak perlu bimbang untuk membelinya.
Bangkit Demi Peluang Kedua
Walaupun kini tidak lagi memiliki pejabat, operasi kecil-kecilan masih diteruskan. Beberapa orang kakitangan yang masih setia kini bekerja dari rumah beliau (work from home) demi merangka dan membina perniagaan baharu.
Melabelkan fasa ini sebagai salah satu daripada ‘ribuan peluang’ yang Allah berikan sepanjang hidupnya, beliau tekad untuk menggunakan peluang kedua ini sebaik mungkin demi menyelesaikan segala urusan yang tertunggak.
@das.abdul.founder Berakhirnya 10 tahun perjuangan jenama bantal das abdul… Terima kasih atas sokongan. maaf semua kami tidak lagi mampu untuk teruskan…. #dasabdul #DAG® #bantalhotel #bantaldag
♬ original sound – Das Abdul | Founder Story – Das Abdul | Founder Story
Di akhir video, beliau menitipkan satu rayuan yang cukup menyentuh hati buat seluruh rakyat Malaysia, pelanggan setia, dan para sahabat yang mengenali dirinya:
“Tolong doakan saya dan keluarga. Insya-Allah saya akan terus bangkit dan bersemangat. Tapi tolong satu… jangan izinkan saya ni meninggal dengan hutang, dan jangan hutang tu menyesakkan isteri dan anak-anak saya. Mohon doakan.”
Satu dekad menemani tidur lenyak rakyat Malaysia, jenama bantal hotel DAG® mungkin telah melabuhkan tirainya di gudang lama, namun kisah perjuangan dan ketabahan pengasasnya untuk melunaskan amanah baru sahaja bermula. Sama-sama kita doakan agar segala urusan beliau dipermudahkan.