Setiap kali musim kemarau menjelang, isu jerebu merentas sempadan seolah-olah menjadi acara tahunan yang tidak pernah dijemput.

Namun, baru-baru ini tular sebuah rakaman menunjukkan tindakan seorang individu yang dengan selambanya membawa anak pokok kelapa sawit di kawasan hutan yang baru sahaja hangus terbakar dan dipercayai mahu ditanam pada tempat berkenaan.

@muh.aprisafhmi

#patani #lahansawit #petanisawit

♬ suara asli – KINASIH AIRLINES – KINASIH AIRLINES

Isu ini terus mencetuskan kemarahan hebat dalam kalangan netizen serantau.

Taktik Murah Buka Lahan

Rata-rata netizen meluahkan rasa bengang apabila melihat kawasan abu kebakaran hutan itu sekelip mata bertukar menjadi tapak ladang sawit baharu.

Ramai menyifatkan tindakan membakar hutan ini sebagai jalan pintas dan taktik paling jimat untuk membersihkan tanah tanpa perlu mengeluarkan modal pembersihan yang tinggi.

“Sepatutnya buatlah teras dulu baru tanam. Ini semak-samun terus nak tanam. Patutlah sengaja bakar hutan, nak jimat punya pasal tak nak bayar kos bersihkan kawasan,” luah seorang pengguna media sosial.

Sikap tidak bertanggungjawab ini akhirnya membebankan pelbagai pihak. Hutan dibakar hingga menjejaskan kesihatan awam, pemadaman api menggunakan dana awam dan bantuan negara jiran, tetapi hasilnya tanah tersebut terus dicaplok untuk keuntungan peribadi.

Daripada Penanaman Semula Jadi Sawitisasi

Apa yang lebih mengecewakan, usaha memulihkan hutan yang terjejas kini didakwa sudah terpesong.

Jika dahulu kawasan terjejas akan ditanam semula dengan pokok hutan bagi mengembalikan ekosistem asal, kini istilah sawitisasi pula yang mengambil alih. Perkara ini turut diakui sendiri oleh warga tempatan negara jiran yang berasa bersalah dengan nasib masyarakat serantau.

“Maafkan kami, warga Malaysia. Kami pun turut geram dengan tindakan ini. Kami yang tak menyokong pun terkena tempias akibat perbuatan mereka,” kata seorang netizen dari negara jiran.

Malah, ada juga netizen yang meluahkan rasa geram dengan cadangan nakal tetapi penuh sindiran.

“Boleh tak kalau bibit sawit yang dia tanam tu, kita pergi cabut balik senyap-senyap? Kalau mereka bantah, cakap sahaja ini kawasan hutan dan kena tanam pokok hutan, bukannya sawit!”

Mahu Dibawa Ke Muka Pengadilan

Kemarahan yang membara ini membuatkan ramai mendesak agar tindakan undang-undang yang lebih tegas diambil terhadap pelaku.

Malah ada yang berpandangan isu pembakaran terbuka secara sengaja demi perniagaan ini patut dibawa ke peringkat mahkamah antarabangsa sekiranya penguatkuasaan tempatan dilihat kurang memberi kesan jera.

Bagi rakyat marhaen yang terpaksa menghirup udara tidak sihat dan menanggung risiko kesihatan, tindakan rakus ini sudah tidak boleh dikompromi.

Selagi tiada tindakan keras terhadap dalang di sebalik pembakaran ini, selagi itulah masyarakat akan terus menjadi mangsa kepulan jerebu saban tahun.

Sumber