Malaysia Aviation Group (MAG) telah dilantik sebagai rakan kongsi syarikat penerbangan rasmi dan penaja utama untuk pameran pelancongan antarabangsa terbesar Malaysia, MATTA Fair 2024.

Untuk makluman, acara mega ini bakal berlangsung dari 6 hingga 8 September 2024 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC)

Sumber Gambar: MAG

Acara tahunan ini dianjurkan oleh Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dan menjadi tumpuan utama bagi penggemar pelancongan di seluruh negara.

MAG sedia menawarkan pelbagai promosi perjalanan dan tawaran eksklusif yang merangkumi rangkaian syarikat penerbangannya seperti Malaysia Airlines, Firefly, MASwings, serta produk gaya hidup daripada Journify dan Enrich.

Syarikat dalam satu kenyataan berkongsi yang pengunjung  boleh menikmati diskaun sehingga 30% ke atas tambang penerbangan Kelas Ekonomi dan Kelas Perniagaan Malaysia Airlines, serta ke semua destinasi yang ditawarkan oleh Firefly.

Seperti dijangkakan, tawaran istimewa ini hanya tersedia dalam masa terhad iaitu bermula dari 5 hingga 16 September 2024 dan sah untuk perjalanan sehingga 31 Ogos 2025. Dengan tarikan sebegini sememangnya satu peluang yang tidak patut dilepaskan oleh para pengunjung.

Difahamkan ahli Enrich turut diberikan keistimewaan dengan tempahan awal pada 4 September 2024, sehari sebelum jualan bermula, di samping penjimatan tambahan dengan potongan 5,000 mata untuk penebusan penuh di Enrich Hotels.

Tidak hanya itu sahaja, pemegang kad EnrichMoney dan pemegang kad AmBank Enrich Visa Credit juga tidak ketinggalan menikmati diskaun tambahan sebanyak 5.0 peratus, ganjaran 5X EnrichMoney Points, dan 2X Bonus Enrich Points.

Apa yang anda boleh temui di MAG Arena?

Selain menikmati promosi penerbangan, pengunjung boleh menjangkakan suatu pengalaman yang luar biasa apabila melawat MAG Arena yang berkeluasan 11,000 kaki persegi di MATTA Fair 2024.

Sudah pastinya pihak MAG bakal menyediakan pelbagai aktiviti dan inovasi interaktif dan paling penting peluang menerokai dunia penerbangan dan pelancongan yang canggih.

Antara yang dimaksudkan pengunjung boleh menikmati pameran produk secara maya dengan definisi tinggi, di mana mereka boleh meneroka kabin pesawat A330neo menerusi teknologi Realiti Maya (VR).

MAG berkata, kabin berkenaan menampilkan tempat duduk Kelas Perniagaan Elevation daripada Collins Aerospace dan tempat duduk Kelas Ekonomi Recaro CL3810 yang telah memenangi pelbagai anugerah.

“Lebih menarik lagi, pengunjung juga boleh menikmati pengalaman Realiti Terimbuh (AR) melalui penapis khas di telefon pintar mereka, di samping merasai pengalaman berjalan di dalam kabin 360° buat pertama kali.

“Di samping itu, peminat sukan bola sepak berpeluang bertemu dengan legenda Manchester United secara eksklusif di MAG Arena. Ini adalah peluang emas bagi peminat tegar untuk berinteraksi dengan idola mereka sambil menyertai pelbagai permainan yang disediakan di zon Rakan Sukan Global Malaysia Airlines,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, MAG turut memperkenalkan pelbagai teknologi masa depan yang akan mengubah cara kita melancong.

Pengunjung turut boleh mencuba photobooth berasaskan AI yang membolehkan mereka “melancong” ke destinasi impian secara serta-merta melalui teknologi canggih Google Gemini.

“Bukan itu sahaja, perancang perjalanan AI juga diperkenalkan di mana pengunjung hanya perlu memasukkan maklumat seperti destinasi, bilangan teman perjalanan, tempoh percutian, dan bajet untuk menerima itinerari peribadi yang disesuaikan dengan keperluan mereka.

“MAG Arena juga dilengkapi dengan ruang pertemuan yang mampu menampung lebih 100 pelawat dan rakan industri pada satu-satu masa.

“Ini mencerminkan komitmen MAG untuk menjalin kerjasama strategik dengan lembaga pelancongan, rakan perdagangan, penyedia teknologi, dan pelbagai entiti lain dalam ekosistem pelancongan. Tahun ini, MAG merancang untuk memeterai pelbagai perjanjian penting yang akan memperkukuhkan lagi kedudukannya dalam industri pelancongan,” ujarnya.

Pertandingan dan hadiah lumayan

Dalam pada itu, MAG juga berkata salah satu acara yang paling dinanti-nantikan di MATTA Fair 2024 ialah Pertandingan Pembeli yang dianjurkan bersama oleh Malaysia Airlines dan MATTA.

“Pengunjung yang bertuah berpeluang memenangi 23 tiket penerbangan pergi balik ke destinasi menarik, termasuk tiket Kelas Perniagaan ke London dan Da Nang, serta tiket Kelas Ekonomi ke Jepun dan Vietnam. Pertandingan ini pastinya menambah keterujaan kepada pengunjung yang hadir,” tambahnya.

MAG Arena bakal bertapak di Aras 3, MITEC, dan akan menjadi destinasi utama pengunjung MATTA Fair 2024 dek kerana rekaan booth yang cukup futuristik dan paling terbesar di dalam acara ini.

Jadi, jangan lepaskan peluang ini untuk menyertai MATTA Fair 2024 dan menikmati pengalaman pelancongan yang luar biasa serta merebut hadiah eksklusif bersama MAG.