Beberapa perkataan melayu klasik yang sering digunakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini telah dimasukkan dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Perkembangan itu disahkan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat dasar bagi Kementerian Pendidikan (KPM) di Dewan Rakyat semalam.
Baca Juga:
- Perkataan ‘Ketimbang’ Akan Dimasukkan Dalam Kamus Dewan Perdana
- ‘Jangan Perlekeh Bahasa Melayu’ – PM Tegur Golongan Elit Terlalu Obses Bahasa Inggeris
- Lebih 20,000 Pelajar SPM Gagal Bahasa Melayu Dan Sejarah
Fadhlina berharap orang ramai dapat menerima bahawa perbendaharaan bahasa Melayu terus hidup dan sedang berkembang menurut laporan Harian Metro.
‘Maha kaya’ dan ‘Ketimbang’ antara 12 perkataan baharu kini berada dalam talian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Senarai 12 perkataan perkataan baharu dalam kamus DBP serta maksudnya:
- Ketimbang – kata sendi nama menyatakan atau menunjukkan perbezaan atau perbandingan antara sesuatu.
- Tatanan – peraturan atau sistem yang ditetapkan atau yang dipersetujui bersama-sama
- Intiha – akhir, penghabisan atau penutup
- Mahsul – hasil mahsul; berbagai-bagai hasil dalam sesebuah negeri
- Purbasangka – arkaik prasangka
- Taakul – hal membuat pertimbangan dan penilaian dengan menggunakan akal atau logik
- Kesenjangan – keadaan senjang
- Tiwikrama – perubahan besar dengan usaha yang bersungguh-sungguh
- Walhasil – hasilnya atau akibat daripada sesuatu peristiwa, perbuatan, keadaan dan sebagainya
- Maha Kaya – (tentang Allah SWT) sangat atau teramat hebat, (tentang seseorang) besar atau tinggi kedudukannya
- Kebinekaan – keadaan pelbagai jenis atau aneka ragam di sesuatu tempat, negara dan sebagainya
- Tatakelola – pentadbiran organisasi mengikut prosedur dan peraturan yang ditetapkan, dan menitikberatkan sifat dan sikap positif pemimpin, pengalaman, kemahiran dan pengetahuan serta ideologi dan fikiran yang prolifik untuk menjana perubahan
Fadhlina berkata, ketimbang adalah perkataan yang terdapat dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia yang bermaksud kata untuk menandai perbandingan.
Katanya, kata ketimbang sama erti atau bersinonim dengan kata daripada.
Bagi perkataan peluncuran pula, beliau berkata, ia mempunyai maksud yang sama dengan pelancaran, iaitu hal atau perbuatan memperkenalkan produk atau program semakin banyak digunakan oleh pengguna bahasa Melayu sebagai variasi dalam konteks yang bersesuaian.
Dalam konteks ini, jelasnya perkataan peluncuran mengalami peluasan makna.