Seorang wanita berusia 38 tahun diarahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 kepada seorang suri rumah selepas mahkamah mendapati dia bertanggungjawab atas keruntuhan perkahwinan yang bertahan hampir lima dekad, lapor Malay Mail.
Dalam keputusan yang diumumkan oleh Hakim Evrol Mariette Peters, suami berusia 74 tahun juga didapati bersalah melakukan hubungan terlarang dan diarahkan membayar nafkah sebanyak RM205,000 kepada isterinya yang berusia 72 tahun.
Selain itu, hakim memerintahkan harta perkahwinan pasangan itu dibahagikan sama rata.
“Bukti yang dikemukakan, walaupun bersifat tidak langsung, menunjukkan naratif yang jelas dan meyakinkan tentang hubungan terlarang antara suami dan kekasihnya,” kata Hakim Peters dalam penghakiman beliau yang mencecah 72 muka surat.
Hakim Peters menolak hujahan suami yang mendakwa disfungsi ereksi (ED) yang dialaminya membuatkan hubungan intim mustahil dilakukan.
“Sepanjang perbicaraan, suami mendakwa ED menyebabkan hubungan seksual dengan isteri terhenti sepenuhnya, dan dia tidak mungkin terlibat dalam hubungan intim dengan kekasihnya,” jelas Hakim Peters.
Namun, beliau menegaskan suami gagal menyokong dakwaannya dengan laporan perubatan, keterangan pakar, atau sebarang dokumen pengesahan.
Hakim turut mendapati bahawa kekasih suami sedar akan komitmen pasanganya tetapi tetap meneruskan hubungan terlarang itu.
“Dengan meneruskan hubungan terlarang, kekasih suami menunjukkan sikap acuh tak acuh terhadap kesejahteraan emosi isteri,” tegas Hakim Peters.
Mahkamah Dakwa ‘Penyondol’ Paksa Suami Ceraikan Isteri
Menurut beliau, pertukaran emel antara kekasih dan suami menunjukkan bahawa wanita itu mendesak suami untuk menceraikan isterinya dan bahkan cuba mengandungkan anak dengannya melalui rawatan persenyawaan in vitro (IVF).
Tambah hakim mahkamah lagi bahawa tiada korelasi automatik antara kemampuan untuk mempunyai anak dan kemampuan melakukan hubungan seks.
“Hakikat bahawa seorang lelaki tidak boleh mempunyai anak tidak semestinya bermakna dia tidak mampu melakukan hubungan seks,” jelas beliau.
Selain itu, mahkamah mengarahkan suami dan kekasihnya membayar kos guaman sebanyak RM100,000 kepada isteri.
Dalam pembahagian harta perkahwinan, Hakim Peters mengambil kira pengorbanan isteri sepanjang perkahwinan mereka.
Isteri, yang memiliki diploma dalam pengajian perniagaan, melepaskan kerjayanya untuk menjadi suri rumah sementara suami membina perniagaannya.
Beliau juga membesarkan enam anak dan menyara tiga cucu.
“Membesarkan enam anak dan menyara tiga cucu memerlukan masa, tenaga, dan komitmen yang besar,” kata Hakim Peters.
Pasangan ini berkahwin pada tahun 1977, dan isteri mendakwa bahawa pada September 2022, suami mengaku mempunyai hubungan dengan kekasihnya.
Sebulan kemudian, isteri memfailkan pemisahan kehakiman dan menuntut nafkah, separuh daripada harta yang diperoleh semasa perkahwinan, serta ganti rugi daripada kekasih suami atas peranannya dalam menghancurkan perkahwinan mereka.