Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, daripada tuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta.

Memetik Berita Harian, Hakim Azura Alwi membuat perintah itu mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

Baca Juga:

“Mahkamah dengan ini memerintahkan Allahyarham Tun Daim dilepaskan dan dibebaskan.

“Mahkamah mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, semoga beliau ditempatkan di kalangan solihin,” katanya.

Seksyen 254 CPC menyatakan, dalam mana-mana peringkat perbicaraan, sebelum penghakiman diberikan, Pendakwa Raya, jika berpendapat patut, boleh memberitahu mahkamah yang ia tidak akan mendakwa tertuduh dan semua prosiding hendaklah diberhentikan serta tertuduh hendaklah dibebaskan daripada pertuduhan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, bahawa pihaknya tidak meneruskan prosiding terhadap Allahyarham Daim susulan kematiannya.

“Kami dengan ini mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah, tidak berniat meneruskan prosiding terhadap Allahyarham Tun Daim kerana tertuduh telah meninggal dunia,” katanya.

Difahamkan sebelum ini isteri kepada Daim mahu pendakwaan membabitkan kegagalan mengisytiharkan harta dihadapi arwah suaminya diteruskan supaya keadilan terhadap pemimpin itu terbela.

Harta berkenaan termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid berkata, menjadi hasrat arwah suaminya supaya perbicaraan itu diteruskan di mahkamah sehingga tamat walau apapun terjadi.

Sumber