Kementerian Pengangkutan akan memperkenalkan inisiatif e-kredit bagi membantu pelajar Sabah dan Sarawak Intitusi Pengajian Awam (IPTA) untuk pulang ke kampung sempena perayaan atau cuti semester.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif itu bakal dilaksanakan pada Ogos dan dijangka dilancarkan sebelum Hari Kemerdekaan.

Baca Juga:

Tambahnya, Kementerian Pengangkutan sedang membangunkan sistem berkenaan di mana ia memerlukan langkah integrasi bersama syarikat penerbangan terlibat.

Anthony Loke berucap ketika merasmikan pembukaan laluan baharu MyAirlines ke Bangkok di KLIA Terminal 2, hari ini.

“Mereka akan menerima satu bentuk e-kredit yang akan dimasukkan ke dalam akaun masing-masing bagi pembelian tiket kapal terbang dan jika syarikat penerbangan ada menawarkan diskaun, ia juga lebih berbaloi.

“Walaupun jumlahnya bukan banyak, tetapi bantuan itu merupakan satu langkah permulaan untuk meringankan beban pelajar pulang ke kampung semasa perayaan dan cuti semester,” katanya semasa pelancaran MYAirline Double Take-Off di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada Jumaat.

Tambahnya, pelajar Sabah dan Sarawak yang belajar di Semenanjung dianggarkan mencecah lebih 50,000 orang serta mereka kurang berkemampuan membeli tiket penerbangan pulang ke kampung halaman masing-masing dan berharap inisiatif ini dapat dimanfaatkan mereka nanti.