Dalam dunia yang semakin maju dengan teknologi, kumpulan bilionair termasuk Jeff Bezos, Peter Thiel, dan Sam Altman sedang melabur berbilion dolar untuk mencipta pil panjang umur dalam misi untuk memanjangkan umur manusia, lapor New York Post.
Tetapi, usaha mereka ini mengundang kritikan, dengan sesetengah pihak memberi amaran bahawa bakal lahir “zombi kaya dan privilege.”

Menurut Phil Cleary, pengasas SmartWater Group, usaha ini datang dari ego dan ketakutan, bukan sifat kemanusiaan.
“Mereka patut berhenti bermain jadi Tuhan dan tumpukan kekayaan mereka untuk menyelamatkan kanak-kanak miskin yang mati akibat kelaparan dan penyakit yang boleh dirawat,” kata Cleary.
Bezos, pengasas Amazon, telah melabur $3 bilion dalam Altos Labs, sebuah syarikat bioteknologi yang ditubuhkan pada 2021 untuk meneroka teknologi “pemprograman semula biologi.”
Teknologi ini bertujuan untuk meremajakan sel badan manusia.
Peter Thiel, pengasas bersama PayPal, pula menyokong Methuselah Foundation, yang mensasarkan untuk memanjangkan hayat sihat manusia dengan mengubah usia 90 tahun menjadi seperti usia 50 tahun.
Di samping itu, Sam Altman, pengasas ChatGPT, melabur $180 juta dalam Retro BioScience, yang menjangkakan bukti konsep klinikal teknologi mereka dalam tempoh empat tahun.
Kajian terbaru juga menunjukkan hasil yang menjanjikan.
Misalnya, penyelidik di Imperial College London dan Duke-NUS Medical School berjaya memanjangkan hayat tikus makmal sebanyak 25% menggunakan ubat baru.
Namun, Cleary memberi amaran bahawa kemajuan ini berisiko mencipta dunia yang lebih tidak adil.
Hanya golongan kaya yang mampu membeli pil panjang umur ini, sementara berjuta-juta kanak-kanak di seluruh dunia terus mati akibat kelaparan dan kekurangan akses kepada perubatan asas.
Cleary menggelarkan hasil daripada usaha ini sebagai “zombi kaya”—golongan elit, terutamanya daripada kelas menengah kulit putih.
“Daripada memanjangkan hayat mereka yang sudah berjaya dalam hidup, lebih baik mereka memastikan berjuta-juta kanak-kanak dapat hidup sehingga usia 18 tahun,” tegas Cleary.
Dr. Niamh Middleton, seorang ahli teologi dari University of Dublin, juga memberi amaran bahawa manusia boleh “hilang kemanusiaan” jika syarikat teknologi berjaya membawa pil panjang umur ini ke pasaran untuk keuntungan komersial.
Menurutnya, usaha untuk memanjangkan hayat sepatutnya lebih menumpukan kepada membantu golongan paling terdedah, seperti kanak-kanak yang mati kelaparan.