Setelah lama harga RON95 dikekalkan pada harga RM2.05 seliter, minyak petrol yang digunakan majoriti rakyat Malaysia ini dijangka berpeluang mengalami penurunan menurut MIDF Research.
“Kami menjangkakan kerajaan akan menurunkan harga RON95 sebanyak 10 sen,” katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Baca Juga:
- ‘Ibu Lebih Percayakan Scammer’ – Anak Luah Rasa Kesal Duit Lebih RM60,000 Milik Ibunya Lesap
- Duit KWSP RM700,000 ‘Licin’ Dalam Masa Tiga Tahun, Bapa Salahkan Anak Tak Bagi Duit
- Penat ‘Mengemis’ Hutang? Ini Cara Mudah Mengutipnya Dengan Aplikasi MAE
Menurut MIDF Research, jika kerajaan menurunkan harga RON95 sebanyak 10 sen kepada RM1.95 seliter bulan depan, kadar inflasi utama Malaysia dijangka susut kepada 2.9 peratus bagi tahun 2023 manakala inflasi pengangkutan akan menguncup sebanyak 1.7 peratus.
Bagi pihak kerajaan pula, perbelanjaan fiskal bagi menampung subsidi ini dijangka bertambah sebanyak RM4.31 bilion.
“Berdasarkan andaian harga minyak $80 setong, kami menganggarkan harga pasaran untuk RON95 ialah RM3.10 seliter. Dalam kata lain, jika mengapungkan sepenuhnya harga untuk RON95 akan menyebabkan kenaikan harga lebih daripada 50 peratus yang akan mempunyai lonjakan besar yang ketara dalam data Indeks Harga Pengguna (IHP),” katanya.
Sebagai rekod, kerajaan membelanjakan sebanyak RM42 bilion untuk subsidi bahan api pada tahun lalu, merangkumi sebahagian besar daripada perbelanjaan subsidi keseluruhan.