Lyf Raja Chulan, hotel terbaharu dalam koleksi hotel dan kediaman The Ascott Limited melancarkan ‘Kuala Lumpur Comes A-lyf’, kempen pelancongan selama setahun yang memberi tumpuan kepada warisan budaya yang kaya di Malaysia.

Kempen ini bertujuan untuk menyemarakkan lokasi warisan Kuala Lumpur dengan menganjurkan pelbagai acara bertema dan kebudayaan untuk menarik minat pelancong tempatan dan antarabangsa di Lembah Klang.

Baca Juga:

Menerusi kempen ini, peniaga kecil atau penjaja tempatan di sekitar bandar raya ini diberi peluang menjual atau mempromosikan produk makanan mereka secara percuma pada program pasar lambak dan bazar makanan di Lyf Raja Chulan Kuala Lumpur.

Pengarah Pemasaran, Perhubungan Awam dan Komunikasi The Ascott Limited Malaysia, Warren Fernandez, berkata semua peniaga daripada pelbagai budaya digalak turut serta dalam program itu yang bersifat interaktif, sekali gus dapat membantu mempromosikan sektor pelancongan terutama di sekitar ibu kota.

Beliau berkata, kempen dijalankan ini bagi membangunkan kawasan yang berpotensi menjadi tarikan pelancong, selain menggalakkan pembabitan pengunjung tempatan dan antarabangsa terutama golongan muda dalam setiap aktiviti dijalankan.

Sepanjang kempen ini, pelbagai aktiviti lain seperti permainan tradisional, persembahan komedi, festival muzik, ceramah, aktiviti memasak, menganyam kraf tangan dan banyak lagi boleh disertai pengunjung.

Mohamed Amin (empat dari kanan) bersama Mondi Mecja (tiga dari kanan) selepas perasmian ‘Kuala Lumpur Comes A-lyf’ di Kuala Lumpur

Tambahnya, semua aktiviti yang diadakan mempunyai unsur tradisi dan kebudayaan tersendiri, namun ia dibuat berkonsepkan moden kerana fokus utama bagi menarik minat pengunjung tempatan terutama golongan muda serta pelancong antarabangsa.

Kempen ‘Kuala Lumpur Comes A-lyf’ ini dianjurkan Lyf Raja Chulan Kuala Lumpur dengan kolaborasi bersama Tourism Malaysia dirasmikan baru-baru ini yang turut dihadiri Pengarah Kanan Tourism Malaysia, Mohamed Amin Yahya dan Pengurus Negara The Ascott Limited, Mondi Mecja.