Hanya mereka yang ada pengenalan diri khas (ID) dan disahkan layak sahaja boleh mendapatkan minyak masak berpaket melalui subsidi bersasar yang dijangka diperkenalkan tahun depan.

Menurut kenyataan di Facebook, Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh, berkata ia bagi kemastikan barangan bersubsidi itu hanya dibeli oleh kumpulan yang layak.

“Sekarang ini minyak masak peket berada di pasaran terbuka. Kita mahu sasarkan kepada yang memerlukan, supaya tidak berlaku penjualan kepada yang tidak sepatutnya.

“Maka dengan subsidi bersasar, hanya yang ada ID (pengenalan diri) dan disahkan layak sahaja boleh dapatkan minyak masak peket bersubsidi ini,” ujarnya.

Beliau menjelaskan kerajaan tidak menggunakan aplikasi MySejahtera dalam penentuan pemberian subsidi kerana aplikasi itu tidak boleh membezakan pengelasan isi rumah.

“Ramai yang bertanya mengapa tidak gunakan IC atau MySejahtera. Ini kerana keperluan keluarga tidak sama dengan keperluan peniaga mikro,” tambahnya.

Mengulas lanjut, sekiranya dihadkan pembelian kpd 3 kilogram (kg) atau 5kg, peniaga akan bermasalah. Menurutnya, kerajaan ketika ini mengeluarkan 60 juta peket minyak masak bersubsidi setiap bulan.