Ada port nasi lemak sedap? Jom kongsi untuk lebih ramai tahu tentangnya!

MyResipi, platform komuniti makanan digital terkemuka di bawah naungan REV Media Group, baru-baru ini melancarkan kempen Makan Sini Best, bertujuan untuk mencari, meraikan dan mengiktiraf pengusaha Nasi Lemak Paling Best di Lembah Klang dengan kuasa undian sepenuhnya di tangan anda.

Berlangsung dari Ogos hingga September 2025, kempen ini memberi peluang kepada warganet untuk memberi sorotan kepada pengusaha makanan tempatan yang menjadi wira di sebalik hidangan ikonik negara.

Kempen akan diakhiri dengan sebuah acara penganugerahan pada 25 September 2025.

“Menerusi ‘Makan Sini Best’, kami ingin mengangkat keunikan cita rasa tempatan dan meraikan semangat pengusaha makanan kita. Matlamat utama kami adalah untuk memberi kuasa kepada rakyat Malaysia memilih dan menobatkan juara sebenar nasi lemak di Lembah Klang.

“Kami percaya bahawa suara komuniti adalah yang paling telus dan diyakini,” kata Muhamad Shaifullah Tayep, Penulis Kanan Kandungan Berjenama di REV Media Group.

Bagaimana Anda Boleh Sertai?

Penyertaan dibuka kepada semua dan dibahagikan kepada tiga fasa:

Fasa Pencalonan (9 – 23 Ogos): Calonkan gerai atau restoran nasi lemak kegemaran anda dengan meninggalkan komen di hantaran media sosial rasmi Facebook, TikTok, dan Instagram MyResipi. Nyatakan nama kedai, lokasi dan sebab mengapa ia wajar dicalonkan.

Fasa Undian (10 – 22 September): Lima vendor dengan pencalonan tertinggi akan disenarai pendek. Orang ramai kemudian boleh mengundi pemenang utama melalui laman mikro rasmi kempen.

Pengumuman Juara (25 September): Pemenang akan diumumkan dan diraikan dalam sebuah acara mini. Vendor yang dinobatkan sebagai “Nasi Lemak Paling Best di Lembah Klang” akan menerima plak penghargaan rasmi daripada MyResipi.

Ganjaran Menarik Menanti!
'Makan Sini Best' Ajak Anda Tentukan Nasi Lemak Nombor Satu Di Lembah Klang
Bagi menghargai sokongan komuniti, MyResipi turut memeriahkan kempen dengan pelbagai peraduan dan hadiah eksklusif tajaan Le Nona.

Sepanjang fasa pencalonan, orang ramai berpeluang memenangi sebuah Le Nona Rosabelle Rice Cooker 1.8L dengan menyertai peraduan gambar nasi lemak paling kreatif di hantaran Facebook MyResipi.

'Makan Sini Best' Ajak Anda Tentukan Nasi Lemak Nombor Satu Di Lembah Klang
Produk Le Nona yang menarik dan berkualiti

Selain itu, dua peserta dengan komen paling meyakinkan tentang mengapa mereka bersama seorang rakan wajar dirai di gerai pemenang akan membawa pulang set kuali premium, iaitu Le Nona Jumbo Rose Wok Set dan Le Nona Jumbo Rose Wok Set (Scarlet Edition).

Kemeriahan diteruskan di acara kemuncak pada 25 September, di mana 100 pengunjung terawal akan menikmati nasi lemak percuma dan produk tajaan daripada rakan penaja seperti Sunshine Bakeries Malaysia dan ZUS Coffee.

Bukan itu sahaja, mereka juga berpeluang menyertai cabutan bertuah untuk memenangi sebuah lagi Le Nona Rosabelle Rice Cooker 1.8L.

Anda juga boleh ke microsite www.myresipi.com/makansinibest yang telah dibangunkan sebagai pusat sehenti di mana anda boleh melihat senarai calon, mengundi, menonton video di sebalik tabir dan membaca artikel menarik berkaitan kempen ini.

Untuk maklumat dan kemas kini terkini, ikuti MyResipi di Instagram dan layari www.myresipi.com/makansinibest. Jom!