Semalam, berlaku satu pertembungan hebat di antara dua pasukan terkuat di dalam arena Mobile Legends: Bang Bang yang mana merangkumi Malaysia dan Filipina di dalam acara pertandingan antarabangsa M7.
Perlawanan berkenaan sememangnya dinantikan oleh peminat-peminat MLBB kerana ramai ingin mengetahui sejauh mana kehebatan secara spesifiknya pasukan Malaysia kerana selalu diremehkan oleh negara jiran.
Selangor Red Giants telah mempamerkan prestasi yang cukup cemerlang apabila berjaya menumbangkan ‘Si Raja Segala Raja’ yang telah mendominasi MLBB sejak sekian lama dan sampaikan tahap ramai pada awalnya menjangkakan ia sesuatu yang mustahil.
Bermula dengan pusingan pertama yang sangat sengit namun terpaksa akur dengan disiplin dan kemahiran pemain Filipina yang memang berada di tahap yang tinggi.
Namun, masuk ke pusingan ke-2 dan ke-3, pasukan Malaysia menunjukkan taring apabila berjaya mengawal corak dan rentak permainan sehingga pasukan Filipina iaitu Team Liquid Philipines terpaksa berhempas pulas sampai ke detik terakhir namun tidak membuahkan hasil.
Dengan keputusan yang cemerlang ini, akhirnya segala persoalan tentang kemampuan pasukan Malaysia selama ini telah terjawab dan diakui sudah berada di taraf dunia.
Paling ketara, peminat MLBB dari Indonesia langsung membanjiri komentar di sejumlah video yang mana mereka kini mengakui akan kehebatan pasukan Malaysia kerana bukan sahaja berjaya mengalahkan Raja Terakhir malah menjadi penanda aras baharu di dalam sejarah MLBB.
“Kalau AE tu fahamlah juga kenapa kena pandang rendah… tapi SRG ni dah lah konsisten, pun masih kena remehkan lagi. Geram betul.”
“SRG sih paling diremehkan ..tapi mereka ngak membalas ..kesian mereka.”
“Makin di remeh makin menyala.”
“gacor sumpah , baik pemain dan penyokong srg mental juara semua”.
“Rekod kemenangan SRG & AE masih solid, tak pecah lagi! Yang peliknya, makin orang kutuk, makin ‘menjadi-jadi’ pula mainnya. Walaupun SRG lagi banyak kena kecam berbanding AE, tapi dua-dua tetap mantap dan GG gila!,” demikian antara komentar yang ditulis oleh peminat Indonesia di sejumlah video di TikTok.
@ae_rii17
Menariknya, sementara pasukan dari negara lain takut untuk berdepan dengan pasukan Filipina, hanya pasukan Malaysia sahaja yang berani berdepan dengan mereka walaupun ramai prejudis dengan kekuatan SRG pada ketika itu.
Untuk makluman, kemenangan dramatik ke atas Team Liquid PH ini bukanlah sekadar kemenangan biasa.
Dalam sistem Swiss Stage yang sangat kejam di M7, setiap mata adalah penentu hidup dan mati.
Dengan menumbangkan gergasi Filipina, SRG membuktikan mereka bukan sahaja layak ke pusingan Knockout, malah melakukannya dengan rekod yang cukup digeruni oleh pasukan elit dunia yang lain.
Di sebalik kejayaan ini, ketangkasan Sekys dalam melakukan retribution yang tepat pada saat-saat kritikal di samping sentiasa mengintai barisan belakang musuh nyata menjadi mimpi ngeri buat lawan.
Ditambah pula dengan disiplin tinggi yang dipamerkan oleh Stormie di bahagian midlane, gandingan mereka berdua menjadi kunci utama yang merantai pergerakan pemain-pemain Filipina sehingga mereka hilang punca.
Kehebatan SRG di pentas M7 ini sebenarnya bukanlah satu kebetulan.
Berbekalkan status sebagai pasukan paling konsisten di dunia dengan rekod kemenangan tanpa kalah (win streak) yang sangat panjang, SRG telah mengukuhkan dominasi mereka sebagai kuasa besar baharu yang kini menjadi penanda aras dalam arena kompetitif MLBB antarabangsa.
Apa yang lebih membanggakan, walaupun beraksi di Jakarta yang dianggap sebagai ‘kandang singa’, SRG berjaya memikat hati para penyokong Indonesia.
Keberanian dan corak permainan yang penuh gaya (flamboyant) telah mengubah kritikan menjadi sorakan, membuktikan bahawa kualiti permainan SRG mampu melampaui sempadan seteru tradisi.
Namun, perjuangan masih belum berakhir. Dengan momentum yang sedang memuncak, semua mata kini tertumpu kepada pusingan Upper Bracket.
Adakah SRG akan sekali lagi bertemu seteru abadi atau bakal berdepan kejutan daripada pasukan ‘dark horse’ yang lain? Apa yang pasti, ‘Gergasi Merah’ kini sedang memburu takhta dunia dengan penuh keyakinan.
Tiada yang mustahil di dalam hidup ini, anda hanya perlu mencuba dan buktikan dengan hasil yang gempak untuk mendiamkan segala kebisingan di sekeliling.