Malaysia bakal memimpin usaha menyelaras respon serantau di Asia Tenggara berhubung langkah Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengenakan tarif tinggi terhadap import barangan dari beberapa negara ASEAN, lapor Bloomberg.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia akan memastikan suara bersama rantau ini didengar di peringkat antarabangsa.

“Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN, akan memimpin usaha mempertahankan rantaian bekalan terbuka dan tangkas, serta memastikan pendirian kolektif ASEAN diutarakan dengan jelas dan tegas,” kata Anwar dalam ucapan video yang dimuat naik di laman sosialnya, termasuk Facebook, Ahad lewat malam.

ASEAN
Sumber: Reuters

Anwar juga mendedahkan bahawa beliau telah berbincang dengan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh, mengenai tindakan kolektif serantau.

Selain itu, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, yang tiba di Malaysia Ahad petang, turut membincangkan isu tarif ini dalam pertemuan mereka.

ASEAN Antara Yang Paling Terkesan

Negara-negara ASEAN, termasuk Malaysia, Vietnam, dan Kemboja, antara yang paling terjejas oleh kenaikan tarif Trump.

Vietnam dikenakan tarif setinggi 46%, manakala Kemboja menghadapi kadar 49%.

Malaysia pula menerima kenaikan tarif sebanyak 24% untuk produk tertentu.

ASEAN
Sumber: Reuters

Walaupun terkesan, Malaysia memilih untuk tidak membalas dengan langkah yang sama, sebaliknya lebih mengutamakan pendekatan diplomasi.

Kerajaan juga menolak dakwaan pentadbiran Trump yang mendakwa Malaysia mengenakan tarif 47% ke atas barangan AS.

“Kita tidak akan terburu-buru mengambil tindakan balas. Sebaliknya, kita akan kekal tenang, tegas, dan berlandaskan kepentingan nasional,” tegas Anwar.

Pusat Komando Geo-Ekonomi Ditubuh

Sebagai persiapan, kerajaan Malaysia telah menubuhkan Pusat Komando Geo-Ekonomi untuk menguruskan kesan tarif ini.

Anwar menyatakan bahawa usaha sedang giat dijalankan untuk berunding dengan AS bagi mencari “penyelesaian yang boleh diterima bersama”.

Beliau turut mengulangi keyakinannya bahawa ekonomi Malaysia tidak akan memasuki kemelesetan akibat tarif ini.

ASEAN

Namun, kerajaan mungkin menyemak semula sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini jika tarif berkuat kuasa sepenuhnya pada 9 April.

“Kita perlu sedar bahawa tarif meluas ini mungkin hanya permulaan kepada cabaran lebih besar dalam ekonomi global,” tambah Anwar.

Sementara itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abdul Rasheed Ghaffour, dilaporkan berkata negara masih mempunyai ruang untuk berunding dengan AS sebelum tarif dilaksanakan.

Beliau menegaskan bahawa kesan penuh terhadap inflasi hanya boleh dinilai selepas rundingan selesai.