Selepas ini, bakal jemaah umrah di Malaysia mempunyai pilihan yang lebih unik untuk ke Tanah Suci. Bukan sahaja melalui udara, tetapi anda kini boleh merasai pengalaman beribadah sambil belayar merentasi lautan bermula Januari 2026.
Lebih membanggakan, Malaysia secara rasmi menjadi negara pertama di rantau Asia yang memperkenalkan pakej umrah menggunakan kapal persiaran patuh syariah sepenuhnya!

Tiada Kasino, Tiada Arak & Makanan Dijamin Halal

Bila sebut tentang kapal persiaran (cruise), pasti ramai yang terbayang pusat perjudian atau kelab malam. Namun, kapal untuk misi umrah ini sangat berbeza.

Bagi memastikan perjalanan ini memenuhi tuntutan hukum syarak, kapal tersebut telah diubah suai secara keseluruhan:-
Tiada Premis Kasino: Ruang perjudian ditiadakan bagi menjaga keberkatan perjalanan.
Bebas Alkohol: Tiada penjualan minuman beralkohol di sepanjang pelayaran.
Makanan Halal: Semua hidangan yang disediakan dijamin halal sepenuhnya.
‘Healing’ Sambil Menimba Ilmu Agama
Bagi anda yang risau akan bosan sepanjang berada di tengah lautan, jangan risau. Aktiviti hiburan konvensional telah digantikan dengan pengisian yang lebih bermanfaat untuk jiwa.
Para jemaah akan dibimbing oleh mutawwif bertauliah melalui sesi ceramah agama dan bimbingan ibadah. Jadi, sebelum kaki melangkah ke Makkah dan Madinah, mental dan rohani jemaah sudah pun ‘diisi’ dengan ilmu yang cukup.
Berlayar Dari Port Klang Terus Ke Jeddah

Perjalanan ikonik ini dijadualkan bermula dari Port Klang, Selangor. Jemaah akan dibawa merentasi Lautan Hindi yang tenang menuju ke pelabuhan Jeddah, Arab Saudi sebelum meneruskan perjalanan darat ke kota suci Makkah dan Madinah.
Pakej ini dilihat sangat sesuai untuk:
Warga Emas: Perjalanan yang lebih santai tanpa perlu bergegas di lapangan terbang.
Keluarga: Ruang kapal yang luas membolehkan anak-anak bergerak bebas dalam persekitaran yang selamat dan patuh syariah.
Penggemar Pengalaman Baharu: Merasai suasana tenang di tengah laut sebelum fokus beribadah.
Malaysia Sebagai Hab Pelancongan Mesra Muslim
Langkah strategik ini bukan sahaja memberi alternatif kepada jemaah, malah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pelancongan mesra Muslim di peringkat global.
Jadi, bagi anda yang merancang untuk menunaikan umrah pada tahun 2026 nanti, adakah anda sedia untuk menukar tiket penerbangan kepada tiket kapal persiaran?
Penangguhan Pelayaran Sulung IslamiCruise®–AROYA
Memetik dari hebahan di laman rasmi penyedia, pihak IslamiCruise® International secara rasminya telah mengumumkan penangguhan pelayaran sulung kapal mewah IslamiCruise®–AROYA yang sepatutnya dijadualkan berlepas dari Port Klang ke Jeddah pada Januari hingga Februari 2026.
Keputusan ini dibuat bagi membolehkan pihak syarikat melakukan penstrukturan semula terhadap laluan dan konfigurasi pakej yang ditawarkan.
Langkah penjadualan semula ini diambil setelah penilaian terperinci dilakukan bagi memastikan pakej tersebut lebih memenuhi permintaan pasaran, selain diselaraskan dengan musim cuti sekolah agar lebih memudahkan para penumpang.
Berikutan perkembangan ini, semua urusan jualan tiket telah dihentikan serta-merta dan tiada tempahan baharu akan diterima sehingga struktur pakej yang dikemas kini dimuktamadkan.
Buat masa ini, pihak IslamiCruise® sedang dalam proses perbincangan lanjut dengan pemilik kapal AROYA Cruises untuk menentukan tarikh pelayaran baharu yang lebih sesuai dari sudut komersial.
Tarikh rasmi bagi pelayaran sulung ini hanya akan diumumkan sebaik sahaja persetujuan rasmi dicapai oleh kedua-dua belah pihak.