Malaysia kini melancarkan pemproses AI ‘edge’ pertama yang direka dan dibangunkan di dalam negara.

Syarikat rekaan semikonduktor tempatan, SkyeChip Sdn Bhd, telah memperkenalkan pemproses AI ‘edge’ pertama mereka yang dinamakan sebagai MARS1000.

mars1000
Sumber Gambar: techodevas

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SkyeChip, Fong Swee Kiang, MARS1000 adalah cip IoT pintar pertama di Malaysia yang dibina menggunakan teknologi proses 7-nanometer lapor The Star.

MARS1000 ialah cip yang membolehkan teknologi AI berfungsi terus pada peranti itu sendiri, tanpa perlu disambungkan ke internet atau dihantar ke pelayan awanan (cloud server) untuk pemprosesan.

Data syarikat yang menggunakan cip ini akan lebih selamat. Ini kerana data tersebut tidak perlu dihantar keluar dari rangkaian tempatan untuk diproses.

Cip ini boleh digunakan untuk pelbagai industri seperti robotik, analisa video pintar, bandar pintar, dan juga AI generatif.

“Cip ini menyediakan penyelesaian yang berpatutan, pintar, cekap, dan sedia untuk AI. Dengan adanya MARS1000, syarikat-syarikat di Malaysia kini boleh menggunakan cip buatan tempatan untuk memajukan pelbagai bidang seperti pertanian pintar, Industri 4.0, bandar pintar, trafik pintar, dan bandar selamat.

“Pada masa yang sama, cip ini akan membolehkan pembinaan sistem pembelajaran AI yang akan terus melonjakkan pelajar-pelajar Malaysia untuk celik AI dan menjadi pekerja berpengetahuan AI terkemuka,” kongsinya semasa Majlis Makan Malam Merdeka Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) 2025 semalam.

Dibina khusus untuk tugasan ‘edge’, MARS1000 membolehkan penggunaan dalam bidang robotik berautonomi, analisis video pintar, bandar pintar, automasi industri, dan AI generatif. Ini meletakkan inovasi Malaysia di pentas AI global.

Seiring dengan pelancaran MARS1000, syarikat itu turut memperkenalkan EdgeMind, iaitu sebuah sistem automasi AI yang direka khas untuk membantu industri pengeluaran dan pertanian yang dibangunkan dengan kerjasama Elliance Sdn Bhd.

MARS1000 dan sistem EdgeMind adalah hasil kerjasama antara empat syarikat: Skyechip, Elliance, Kaltech, dan Estek Automation.

Secara spesifik, SkyeChip memiliki lebih daripada 90 paten teknologi dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini. Sementara itu, Elliance bertanggungjawab membangunkan sistem EdgeMind yang mudah digunakan, bahkan bagi mereka yang tidak mempunyai pengetahuan mendalam dalam pengaturcaraan.