Malaysia dinobatkan sebagai salah satu negara terbaik bagi ekspatriat atau warga asing di seluruh dunia.

Menurut InterNations’ Expat Insider 2024, Malaysia berada di kedudukan ke-22 dalam senarai negara terbaik di dunia untuk didiami oleh ekspatriat, sekaligus mengatasi negara jiran, Singapura yang hanya menduduki tempat ke-30.

Bukan sahaja Malaysia, beberapa negara Asia Tenggara lain turut mendapat tempat dalam senarai ini.

Indonesia mencatatkan kedudukan tertinggi di tempat ke-3, Thailand di tempat ke-6, Vietnam di tempat ke-8, dan Filipina di tempat ke-9.

Menariknya, Panama menduduki tempat pertama sebagai negara terbaik secara keseluruhan pada tahun 2024, dengan lebih daripada 4 dalam 5 ekspatriat (82%) meluahkan rasa gembira dengan kehidupan mereka di sana, manakala Mexico pula di tempat kedua.

Untuk rekod, kajian ini melibatkan pelbagai golongan ekspatriat, daripada pesara dan pekerja yang mencari peluang pekerjaan di luar negara, hingga pekerja korporat yang ditugaskan secara antarabangsa dan individu yang berpindah atas pelbagai alasan lain.

Secara keseluruhan, sebanyak 12,543 ekspatriat dari 175 kewarganegaraan yang tinggal di 174 negara dan wilayah telah mengambil bahagian dalam kajian ini.