Kontinjen Malaysia akan diwakili seramai enam atlet dan empat pegawai bagi upacara perasmian Sukan Olimpik 2024 di Paris yang akan berlangsung pada awal pagi Sabtu.

Perkara ini dimaklumkan oleh ketua kontinjen negara Datuk Hamidin Mohd Amin dimana barisan atlet negara bakal dipimpin oleh dua pembawa Jalur Gemilang iaitu penerjun Bertrand Rhodict Lises dan atlet pelayaran Nur Shazrin Mohamad Latif.

Baca Juga:

Menurut laporan Sinar Harian, atlet lain yang bakal mewakili negara dalam upacara perasmian nanti ialah Nur Dhabitah Sabri (terjun), Khairulnizam Mohd Afendy (pelayaran), Ashley Lau (golf) dan Tan Rouxin (renang).

Kontinjen Malaysia turut disertai oleh Hamidin, timbalannya Datuk Nicol David, ketua perubatan kontinjen Dr Jasmiza Khuzairi Jasme dan Ang Li Pei (pegawai keselamatan Majlis Olimpik Malaysia).

Majlis perasmian Sukan Olimpik Paris edisi 2024 dijadualkan bermula pada jam 7.30 malam esok (1.30 pagi Sabtu di Malaysia) dengan atlet akan menaiki bot yang dihiasi dengan tema kejohanan. Malaysia menghantar 26 atlet dan 40 pegawai ke temasya sukan itu.

Dalam acara perasmian nanti, kontinjen Malaysia akan mengenakan busana khas yang direka oleh Rizman Ruzaini dimana busana tersebut dinamakan sebagai ‘The Malaya’.

Hanya sasaran satu pingat emas yang ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Sukan Olimpik Paris 2024 bersesuaian dengan matlamat penubuhan Jawatankuasa Road To Gold (RTG).

Menurut menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, sasaran itu dilihat lebih realistik untuk diraih menerusi sukan berbasikal trek dan badminton.

“Saya sudah jawab banyak kali, sasaran kita untuk Sukan Olimpik kali adalah satu pingat emas, itu adalah sasaran sejak penubuhan Jawatankuasa Road To Gold (RTG).

“Jawatankuasa RTG seperti yang kita telah jawab banyak kali adalah untuk dua kitaran Sukan Olimpik iaitu untuk Paris 2024 dan Los Angeles 2028, sebab itu kita membuat persiapan sekarang untuk membantu atlet-atlet Fast Track dalam skuasy dan juga terjun sebagai persiapan, bukan sahaja untuk Paris (2024) tetapi Los Angeles (2028) sudah bermula,” kata Hannah.