Satu keputusan telah dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri dengan mengisytiharkan salah seorang waris Sultan Sulu sebagai pengganas. Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri Khairul Dzaimee Daud berkata kepada New Strait Times bahawa individu terbabit adalah Fuad A Kiram yang berperanan dalam pemberontakan Lahad Datu di Sabah sepuluh tahun yang lalu.

Untuk pengetahuan anda, Fuad juga bertanggungjawab bersama-sama dengan tujuh individu yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu dalam pertikaian undang-undang antarabangsa dengan Putrajaya berhubung tuntutan mereka untuk mendapatkan AS$14.92 bilion daripada Malaysia.

Baca Juga:

“Salah seorang penuntut sebagai pengganas. Fuad A Kiram, terlibat dalam kes Tanduo, dan sekarang ini telah diklasifikasikan pengganas pada 6 april 2023, bawah Seksyen 66 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya seperti yang dilaporkan.

Muhammad Fuad Abdullah Kiram atau Fuad A Kiram telah diklasifikasikan oleh Warta Persekutuan sebagai “menyertai dan memfasilitasikan pelakuan perbuatan pengganas.” Oleh hal yang demikian, dalam pertikaian undang-undang dengan pihak-pihak yang menuntut, termasuk Fuad, kerajaan telah mengambil pendekatan menyerang.

Bagi yang lupa, waris Kesultanan Sulu telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysia yang didakwa telah memotong bayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 untuk Sabah kepada kesultanan pada 2013 selepas pencerobohan Lahad Datu. Kes kini sedang dibicarakan di empat tempat iaitu Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda.

Bayaran ini dihentikan oleh Malaysia selepas pencerobohan ke Lahad Datu, Sabah oleh kumpulan bersenjata yang mendakwa mempunyai kaitan dengan kesultanan Sulu dari selatan Filipina pada tahun tersebut.

Angka daripada RM5,300 kepada RM62.59 bilion dicapai selepas waris Sultan Sulu didakwa telah meminta tafsiran semula perjanjian 1878 untuk meminda status Sabah sebagai wilayah pajakan dan bukannya wilayah yang diserahkan.

Selain itu, waris Sultan Sulu meminta pelarasan ini untuk mencerminkan nilai hasil minyak dan gas Sabah sejak 1970an.

Bagaimanapun, Putrajaya enggan layan tuntutan waris kesultanan Sulu telah mengisytiharkan timbang tara Sepanyol melanggar kekebalan kedaulatan Malaysia dan mempersoalkan kelayakan penimbang tara Sepanyol Gonzalo Stampa untuk mendengar prosiding timbang tara itu.

Kes yang sebelum ini berlangsung di Mahkamah Tinggi Madrid di Sepanyol telah memihak kepada Malaysia apabila mahkamah membatalkan Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara. Stampa telah dituduh melanggar perintah Mahkamah Tinggi Madrid yang pada 2021 telah membatal pelantikannya sebagai penimpang tara dan mengenepikan keputusannya yang meminta Malaysia membayar sejumlah wang tersebut.