Malaysia melakar kejayaan penuh bermakna selepas muncul juara acara kuadran TM ISTAF Piala Dunia Sepaktakraw 2026 hasil kejayaan menundukkan India pada aksi final yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur sebentar tadi.
Kejayaan manis dilakarkan skuad kendalian Ahmad Jais Baharun itu sedikit sebanyak menebus kehampaan skuad regu yang gagal melangkah ke pentas final.
Malaysia yang mempertaruhkan Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Amirul Zazwan Amir dan Aidil Aiman Azwawi bagaimanapun tidak diberikan laluan mudah.
Ia jelas dibuktikan apabila kem India yang dibarisi Ram Kumar Sharma, Sorokhaibam Malemnganba Singh, Yumnam Akash dan
Bobby Kumar tampil dengan garang untuk memberikan saingan sengit sepanjang perlawanan.
India bermula dengan baik apabila mendahului 3-0 dan 5-2 pada awal permainan, namun skuad negara kembali bangkit untuk mengikat kedudukan 7-7 dan kemudiannya mendahului 9-7.
Aksi kemudiannya semakin menarik dengan kedua-dua pasukan saling kejar-mengejar mata yang akhirnya set pertama menjadi milikĀ dengan kemenangan 17-16.
Kecemerlangan itu diteruskan pada kedua untuk mengesahkan kejuaraan menjadi milik Malaysia dengan kemenangan 15-10.
Sementara itu dalam acara beregu, Thailand muncul juara selepas menundukkan Myanmar dalam aksi final yang berlangsung sehingga set ketiga.
Selepas berakhirnya acara kuadran dan regu, tumpuan para pemain selepas ini adalah dalam acara berpasukan dimana Malaysia mengimpikan peluang untuk merampas kejuaraan dari musuh tradisi, Thailand.