Amerika Syarikat (AS) baru sahaja mengumumkan langkah drastik dalam dasar perdagangannya dengan mengenakan tarif import tinggi ke atas beberapa negara ASEAN lain, termasuk Malaysia.
Menurut The Edge, bermula 9 April ini, barangan dari Malaysia akan dikenakan cukai sebanyak 24% apabila masuk ke pasaran AS.
Langkah ini sebahagian daripada polisi “reciprocal tariff” (tarif balas) yang diperkenalkan oleh Presiden Donald Trump, yang mendakwa bahawa banyak negara, termasuk Malaysia, mempunyai halangan perdagangan tidak adil seperti cukai tempatan dan amalan mata wang yang menyukarkan produk AS bersaing.
Negara ASEAN Lain Jadi Sasaran
Malaysia bukan satu-satunya negara di rantau ini yang terjejas, beberapa jiran ASEAN turut dikenakan lebih tinggi:
- Vietnam: 46%
- Kemboja: 49%
- Thailand: 37%
- Indonesia: 32%
- Filipina: 18%
Sementara itu, Singapura terlepas daripada senarai tarif tinggi dan hanya dikenakan kadar asas 10%.
Kenapa Ini Berlaku?
Menurut Trump, dasar ini bertujuan menangani “ketidakseimbangan perdagangan” antara AS dan rakan dagangnya.
Beliau mendakwa bahawa banyak negara mengenakan halangan perdagangan yang menyukarkan produk AS untuk bersaing, sementara mereka mengeksport dengan mudah ke AS.
Dalam perintah eksekutif yang dimuat naik di laman web White House, Trump menyatakan, “Walaupun komitmen terhadap prinsip timbal balik, hubungan perdagangan AS dengan rakan dagangnya semakin tidak seimbang, terutamanya dalam tahun-tahun kebelakangan ini.”
Sebelum ini para pemerhati telah memberi amaran bahawa kenaikan tarif ini boleh memberi kesan kepada eksport Malaysia ke AS, terutamanya dalam sektor seperti elektronik, minyak sawit, dan getah.
Setakat ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) belum mengeluarkan kenyataan rasmi.
Namun, ramai yang menjangkakan bahawa Malaysia mungkin mempertimbangkan rundingan dua hala atau mencari penyelesaian melalui pertubuhan perdagangan antarabangsa.
Langkah AS ini telah mencetuskan perang tarif global, di mana lebih banyak negara mungkin membalas dengan cukai import yang lebih tinggi.