Malaysia masih aman, menurut Indeks Keamanan Global (GPI) 2024, negara kita menduduki tempat ke-10 daripada 163 negara dengan skor 1.427.

Kedudukan ini melihat Malaysia naik 9 anak tangga berbanding tahun lepas, di mana kita berada di tempat ke-19.

Di Asia, Malaysia menduduki tempat ke-2, di belakang Singapura yang berada di tempat pertama di rantau ini dan tempat ke-5 di dunia dengan skor 1.339.

Jepun pula berada di tempat ke-3 di Asia dan tempat ke-17 di dunia dengan skor 1.525.

Di peringkat global, Iceland kekal sebagai negara paling selamat dan aman dengan skor 1.112, diikuti oleh Ireland dengan skor 1.303 dan Austria di tempat ketiga dengan skor 1.313.

Tiga aspek utama diambil dalam mengukur tahap keamanan global: keselamatan dan sekuriti, konflik yang berterusan, dan tahap militarisasi.

Kajian ini menunjukkan bahawa rantau Asia-Pasifik mengalami sedikit penurunan dalam keamanan pada tahun 2024 dengan skor keseluruhan menurun sebanyak 0.1%.

Namun begitu, ia masih kekal sebagai rantau kedua paling aman di dunia, satu kedudukan yang dipegang sejak tahun 2017 lagi.

Secara keseluruhan, dunia telah menjadi kurang stabil dalam tempoh 17 tahun yang lalu dengan peningkatan dalam pelbagai isu seperti ketidakstabilan politik, konflik, kematian, dan protes yang membawa maut.

Walaupun kita sering kali mendengar berita tentang jenayah dan ketidakstabilan politik di Malaysia, hakikatnya, negara kita masih mengekalkan kemajuan yang baik dan sentiasa aman dan makmur dalam kepelbagaian kaum.

Ini adalah hasil usaha berterusan daripada pihak berkuasa, komuniti, dan rakyat Malaysia sendiri yang komited untuk menjaga keamanan negara.

Dalam konteks global, Malaysia adalah contoh bagaimana sebuah negara boleh mengimbangi antara pembangunan dan keamanan dalam kepelbagaian kaum yang ditawarkan.

Walaupun terdapat cabaran, kita dah tunjuk bahawa dengan kepimpinan yang baik dan masyarakat yang bersatu, keamanan boleh dicapai dan dikekalkan.