Memang terbukti pada masa kini serangan siber juga merupakan senjata yang ampuh dalam menjejaskan operasi sesebuah negara. Susulan itu, permintaan pakar keselamatan siber semakin meningkat di seluruh dunia.

Malaysia dilaporkan masih kekurangan kira-kira 12,000 pakar keselamatan siber pelbagai bidang bagi menangani isu serangan siber. Hal ini dilihat sebagai satu cabaran dalam usaha kerajaan memacu agenda pendigitalan negara.

Baca Juga:

Malaysia Masih Kurang 12,000 Tenaga Pakar Untuk Atasi Serangan Siber
Sumber Gambar: BusinessToday

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, Malaysia memerlukan kira-kira 27,000 pakar keselamatan siber namun ketika ini hanya memiliki 15,000 orang untuk membantu menangani isu itu.

“Ini satu kekurangan yang sangat besar sebab bila kita faham keperluan untuk keselamatan siber. Rata-rata syarikat, terutama yang banyak terlibat dengan ekonomi digital, akan mementingkan isu keselamatan siber. Akan ada keperluan mendesak untuk menubuhkan unit keselamatan siber sendiri.

“Setiap syarikat bergantung kepada saiz, mungkin memerlukan antara 20 hingga 30 orang,” katanya selepas program Ruang Bicara bertajuk Pasca Pembentangan Belanjawan 2024 terbitan Bernama TV.

Beliau juga percaya, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), menerusi CyberSecurity Malaysia, mempunyai beberapa ikhtiar yang akan dilaksana bagi memantapkan lagi industri itu dalam menangani serangan siber.

“Perkara ini boleh diatasi dengan kerjasama pihak institusi pengajian tinggi awam dan swasta, juga dengan membawa masuk pakar dari luar,” katanya.

“Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam belanjawan juga ada menyatakan beberapa inisiatif, iaitu sama ada rakyat Malaysia kembali ke tanah air melalui TalentCorp dan warga asing boleh berkhidmat di Malaysia serta beberapa lagi inisiatif tertentu,” katanya.

Fahmi juga berkata setakat ini, pihaknya tidak meletakkan sebarang sasaran atau tempoh dalam usaha memenuhi keperluan tenaga pakar keselamatan siber kerana industri itu berkembang dengan pesat.

Beliau menegaskan tiada anggaran masa tetapi oleh kerana sektor ini berkembang pesat, maka angka pakar keselamatan akan berubah tahun demi tahun.

Bagaimanapun, beliau melihat angka akan menjadi dinamik atau lebih besar pada tahun depan apabila lebih banyak syarikat yang ditubuhkan sekaligus permintaan akan meningkat.

Sumber