Malaysia telah mencatat satu lagi pencapaian besar apabila buat pertama kalinya tersenarai dalam senarai hospital terbaik dunia oleh Newsweek.
Bersama 30 negara lain seperti Amerika Syarikat, negara-negara Eropah Barat, Scandinavia, Australia dan 10 negara Asia, Malaysia kini diiktiraf dalam arena penjagaan kesihatan global.
Menurut laman sesawang Newsweek, difahamkan bahawa portal tersebut telah bekerjasama dengan Statista sejak 2019 untuk menyusun senarai tahunan ini.
Tahun ini, sebanyak 2,400 hospital di seluruh dunia dinilai, dengan 250 hospital terbaik disenaraikan secara global.
Senarai ini turut ditonjolkan dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam penemuan perubatan terkini di beberapa hospital terkemuka.
Malaysia adalah antara negara baharu yang ditambah dalam senarai ini untuk tahun 2024 dengan Gleneagles Kuala Lumpur dan Sunway Medical Centre yang berjaya masuk dalam senarai terbaik dunia.
Penilaian setiap hospital adalah berdasarkan beberapa aspek penting termasuk tinjauan dalam talian yang melibatkan lebih daripada 85,000 pakar perubatan serta data awam dari tinjauan pesakit selepas keluar dari hospital.
Tinjauan tersebut mengukur kepuasan umum pesakit terhadap layanan dan rawatan yang diterima, faktor-faktor kebersihan, nisbah pesakit kepada doktor, serta adakah hospital menggunakan Patient Reported Outcome Measures (PROMs)—soal selidik yang dinilai oleh pesakit sendiri bagi menilai penjagaan rawatan mereka.
Penggunaan PROMs ini menjadi salah satu indikator penting dalam penilaian hospital di mana ia menekankan betapa seriusnya sesebuah hospital dalam mendengar maklum balas pesakit.
Aspek-aspek seperti kebersihan dan nisbah pesakit kepada doktor turut memberikan gambaran tentang kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh hospital tersebut.
Salah satu aspek yang dipandang serius dalam penilaian hospital terbaik ini adalah bagaimana hospital-hospital mengambil faedah daripada kecerdasan buatan (AI) dalam usaha mereka memajukan perubatan.
AI kini semakin penting dalam dunia perubatan moden kerana ia mampu memproses data pesakit dengan lebih pantas dan tepat, membantu doktor dalam membuat keputusan rawatan yang lebih baik.
Walaupun Malaysia masih baru dalam senarai ini, potensi hospital tempatan untuk berkembang dengan penggunaan teknologi canggih seperti AI sentiasa terbuka.
Dengan industri kesihatan global dijangka menjana $4.24 trilion pada tahun 2024, hospital-hospital di Malaysia berpeluang untuk menjadi sebahagian daripada inovasi ini.