Selepas beberapa tahun kerajaan Malaysia berhadapan kemelut tuntutan waris kesultanan Sulu di Mahkamah Agung Belanda, akhirnya negara meraih kemenangan penting.
Terbaharu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman berkongsi khabar gembira itu pada malam semalam menerusi hantaran Facebook.
Baca Juga:
- Peguam Waris Sultan Sulu Beri Amaran, Aset Malaysia Di Seluruh Dunia Diancam Bahaya
- Kerajaan Malaysia Diarah Bayar Wang Pampasan Sebanyak RM62 Bilion Kepada Waris Sultan Sulu
- Malaysia Isytihar Seorang ‘Waris’ Sultan Sulu Sebagai Pengganas
Menurutnya, keputusan Mahkamah Agung Belanda itu sekali gus menamatkan cubaan pihak yang menuntut itu untuk menguatkuasakan tuntutan tidak sah mereka terhadap Malaysia di Belanda.
“Keputusan luar biasa Mahkamah Agung Belanda ini menyokong keputusan dibuat Mahkamah Rayuan The Hague pada 27 Jun 2023.“(Keputusan dibuat Mahkamah Rayuan The Hague) mengangkat usaha Malaysia mencabar permohonan pihak yang menuntut itu di Belanda bagi mengiktiraf dan menguatkuasakan ‘Final Award’ diberikan Dr Gonzalo Stampa di Paris pada 28 Februari 2022,” katanya.
Memetik kenyataan rasmi itu lagi, setelah dikaji oleh panel lima hakim, Mahkamah Agung Belanda menyatakan bahawa aduan yang dikemukakan oleh pihak penuntut tidak boleh menyebabkan pembatalan keputusan 27 Jun 2023, menolak rayuan pihak penuntut sepenuhnya dan memerintahkan pihak penuntut untuk membayar kos rayuan sebagai pihak yang kalah.
Pada masa sama, pihak penuntut tidak akan dapat merampas aset Malaysia di Belanda dan keputusan hari ini akan memberi impak besar terhadap sebarang usaha pelaksanaan yang tidak sah oleh pihak penuntut dan penaja mereka di bidang kuasa lain.
Terdahulu, peguam waris kesultanan Sulu mendakwa sejumlah aset milik Malaysia di 169 negara diancam bakal dirampas oleh waris tersebut.