Malaysia tersenarai antara 10 buah negara menawarkan habuan paling lumayan kepada atlet yang bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024 jika berjaya membawa pulang pingat emas.

Menurut laporan Forbes, Malaysia menduduki tempat ke-4 yang akan memberikan jumlah ganjaran hampir RM1 juta iaitu sekitar RM992,323 (AS$214,000).

Baca Juga:

Bagi pemenang pingat gangsa pula, setiap atlet akan mendapat ganjaran sebanyak 10 peratus daripada jumlah tersebut iaitu kira-kira RM99,232.30.

Atlet Malaysia juga akan diberikan pencen seumur hidup bernilai RM1,854 (AS$400) sehingga RM5,100 (AS$1,100) sebulan jika berjaya meraih pingat Olimpik tanpa mengira warna.

Berdasarkan senarai tersebut, Hong Kong berada di tempat pertama negara yang menawarkan ganjaran paling tinggi kepada atletnya (RM3,560,651) diikuti dengan Israel (RM1,274,972).

Tempat ketiga pula adalah Serbia (RM1,010,747), Malaysia tempat keempat manakala Itali di kedudukan kelima (RM908,745).

Setiap negara yang bertanding menawarkan ganjaran yang berbeza. Selain wang tunai, ada juga negara yang menawarkan imbuhan lain seperti rumah dan kereta oleh kerajaan serta syarikat korporat.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) tidak menyediakan imbuhan wang tunai kepada pemenang pingat, kecuali bagi acara olahraga dan tinju yang menawarkan hadiah wang tunai menerusi badan-badan induk sukan berkenaan.

Berdasarkan rekod, Malaysia setakat ini tidak pernah memenangi pingat emas dan telah mengutip 13 pingat Olimpik sejak 1964 terdiri daripada 8 pingat perak dan 5 pingat gangsa.

Sasaran pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024 dilihat lebih realistik untuk diraih menerusi sukan berbasikal trek dan badminton.