Menerusi laporan ‘Gaji minimum di seluruh dunia: Di manakah anda boleh hidup dengan gaji minimum?’,  Malaysia berada di tempat ke-59 daripada 67 negara dalam ranking gaji minimum bersih global yang dikeluarkan Picodi Malaysia.

Pengendali platform e-dagang carian barang murah itu menunjukkan gaji minimum bersih bulanan di Malaysia sebanyak RM1,323 setakat Januari 2024, petik Berita Harian.

Baca Juga:

Ia berkata, 58 daripada 67 negara yang berada dalam ranking itu, menyaksikan gaji minimum setakat Januari 2024 berbanding Januari 2023 telah berubah.

Katanya, kenaikan terendah dicatatkan di Perancis (3.4 peratus), Jerman (2.8 peratus) dan Thailand (2.5 peratus), manakala gaji minimum di Sepanyol, Malaysia dan Vietnam tidak berubah.

Manakala, negara mencatatkan kenaikan tertinggi dalam gaji minimum ialah Argentina (meningkat 138 peratus) dan Türkiye (meningkat 100 peratus).

“Malaysia menduduki tempat ke-59 dalam ranking. Gaji minimum bersih adalah RM1,323, sama dengan paras tahun lalu,” katanya.

Dalam laporan itu, Picodi Malaysia menggunakan gaji bersih, yang dibawa pulang oleh pekerja kerana ia berpendapat perbandingan sedemikian lebih adil berikutan perbezaan antara gaji kasar dan bersih, bergantung kepada negara, boleh setinggi 30 peratus.

Pasukan penganalisis Picodi Malaysia mengkaji bagaimana gaji minimum berubah di 67 negara. Difahamkan harga barangan runcit asas meningkat dan bagaimana kos kelangsungan hidup dibandingkan dengan gaji minimum.

“Malaysia jauh ketinggalan berbanding negara itu memandangkan bakul kelangsungan hidup di negara ini mewakili 33.1 peratus gaji minimum (berada pada kedudukan ke-48 dalam ranking),” petik laporan Picodi Malaysia.

Sumber