Kuala Lumpur telah diumumkan sebagai destinasi perlumbaan pembukaan bagi kalendar penuh Kejuaraan Dunia FIM Supercross 2025.

Perkembangan terkini itu disahkan menerusi pengumuman di laman sosial rasmi mereka iaitu fimwsx, malam tadi.

Baca Juga:

Stadium Merdeka akan menjadi gelanggang utama perlumbaan di Malaysia yang dijadual berlangsung pada 18 Oktober 2025 nanti.

FIM Supercross

Perlumbaan World Supercross yang pertama kali diadakan di Malaysia akan menjadi satu-satunya perlumbaan di benua Asia, selain empat bandaraya lain dari setiap benua.

Dengan gabungan dinamik bandar ikonik dan destinasi baharu, musim 2025 mengesahkan semula misi World Supercross untuk membawa supercross bertaraf dunia kepada peminat di seluruh dunia.

Kejuaraan Dunia FIM Supercross Pertama Kali Di Malaysia

“Kami amat teruja untuk mengalu-alukan Kejuaraan Dunia FIM Supercross ke Kuala Lumpur,” kata Shamil Yusof, Ketua Pengarah Eksekutif Data Sukan Sdn Bhd yang membawa masuk perlumbaan ini ke Malaysia.

“Ia adalah bukti kepada peningkatan status Malaysia dalam sukan global dan kami berharap dapat memberikan pengalaman yang mendebarkan kepada peminat, dan membawa nama Malaysia ke persada dunia.”

“Ini juga merupakan tempoh yang amat mengujakan bagi pencinta sukan permotoran di Malaysia dan Asia Tenggara, dengan Kejuaraan Grand Prix Motosikal Malaysia 2025 yang berprestij akan menyusul seminggu kemudian. Ia adalah ‘double-header’ yang hebat untuk rantau ini.”

Musim yang dinanti-nantikan akan bermula di Kuala Lumpur pada 18 Oktober.

Selepas debut Malaysia ini, tumpuan peminat-peminat SuperCross kemudian akan beralih ke Buenos Aires,Argentina (8 November), Vancouver,Kanada (15 November), Gold Coast, Australia (29 November) dan perlumbaan penutup di Cape Town, Afrika Selatan pada 13 Disember.

FIM Supercross

“Membawa perlumbaan ini ke Kuala Lumpur adalah detik penting bagi sukan Malaysia. Sebagai satu-satunya negara Asia yang menjadi tuan rumah acara berprestij ini, kami amat berbangga untuk menunjukkan keupayaan Malaysia dalam menganjurkan kejuaraan bertaraf dunia,” tambah Shamil.

“Ini selaras secara strategik dengan wawasan kerajaan Madani untuk menarik acara antarabangsa yang mampan, dan menjanjikan pertumbuhan yang ketara bagi ekonomi pelancongan Malaysia.”

 

“Kalendar 2025 adalah detik penentu bagi World Supercross, sambil kami terus mendorong sukan ini ke wilayah dan penonton baharu.”

“Pengembangan ke rantau baharu seperti Malaysia, Argentina dan Afrika Selatan, bersama-sama dengan kembali ke pasaran utama seperti Kanada dan Australia, menyerlahkan wawasan kami untuk menjadikan FIM Supercross sebagai tontonan yang benar-benar global.”

“Menyediakan perlumbaan supercross elit ke lima benua buat kali pertama adalah detik yang besar. Ini akan menjadi musim yang terbesar dan terbaik setakat ini,” kata Tom Burwell, Ketua Pegawai Eksekutif World Supercross.

Antonio Alia Portela, Pengarah FIM Motocross Commission, menambah: “Bia Sports Group sedang meletakkan asas bagi era baharu untuk Kejuaraan FIM Supercross Dunia.”

FIM Supercross

“Setelah menganjurkan perlumbaan yang menarik tahun lepas, mereka mahu membawa supercross lebih jauh ke seluruh dunia dan mencipta keterujaan di seluruh benua.”

“Bermula dengan perlumbaan pembukaan di Stadium Merdeka yang ikonik sebelum berakhir di Cape Town, kami teruja untuk melihat pelumba terbaik di planet ini bertarung sekali lagi untuk hadiah utama – gelaran Juara Dunia.”

Eli Tomac (450cc), Shane McElrath (250cc), dan Pasukan Fire Power Honda memenangi kejuaraan pada 2024, tetapi dengan musim baharu cabaran lebih getir menanti mereka.

Untuk akses tiket pra-jualan dan butiran lanjut, lawati https://wsxchampionship.com/