Skuad kebangsaan Malaysia sebentar tadi mengesahkan kehadiran empat lagi pemain warisan dalam memperkuatkan pasukan kendalian Peter Cklamovski itu.

Perkembangan terkini itu disahkan menerusi satu persatu video pengenalan dikeluarkan laman sosial Malaysia NT sebentar tadi.

Ia bermula dengan pengenalan Jon Irazabal, diikuti pula Joao Figueiredo, Imanol Machuca dan yang terakhir, Rodrigo Holgado.

Keempat-empat pemain itu dilihat sudah mula menyertai sesi latihan pasukan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Irazabal merupakan pemain pertahanan tengah kelahiran Sepanyol yang beraksi bersama Sabah FK dalam saingan Liga Azerbaijan.

Malaysia
Kredit Foto: Malaysia NT

Musim 2024/25 menyaksikan pemain berusia 28 tahun itu membuat 39 penampilan bersama Sabah dan turut beraksi 120 minit ketika perlawanan akhir Piala Azerbaijan dimana pasukannya berjaya menjulang kejuaraan tersebut.

Joao Figueiredo pula merupakan penyerang Istanbul Basaksehir yang berusia 29 tahun.  Beraksi 48 perlawanan musim lalu, Figueiredo menjaringkan 12 gol dalam semua pertandingan disertai.

Pemain kelahiran Argentina, Imanol Machuca pula beraksi di posisi sayap kanan dan kini berusia 25 tahun.

Manakala, Rodrigo Holgado membuat 22 penampilan bersama CD America de Cali pada musim 2024/25 dan telah menjaringkan lapan gol dimana tujuh daripadanya terhasil dalam kempen liga utama Colombia.

Malaysia
Kredit Foto: Malaysia NT

Suntikan Kekuatan Buat Skuad Malaysia

Kehadiran empat pemain tersebut nyata mampu untuk meningkatkan kemampuan skuad kebangsaan Malaysia yang memburu slot ke Piala Asia 2027.

Sebelum ini skuad negara berjaya mendapatkan khidmat pemain tengah, Hector Hevel dan pemain pertahanan, Gabriel Palmero yang sudah membuat penampilan sulung mereka.

Sementara itu kelmarin, Facundo Garces dari Deportivo Alaves pula diumumkan sebagai pemain warisan baharu negara.

 

Sumber