Pemilik akaun media sosial Nasi Kandar Sulaiman tampil menjelaskan tentang kesalahfahaman orang Melayu tentang mamak.
Dia didatangi dua orang pelanggan berbangsa Melayu dari luar Pulau Pinang yang bertanya sama ada dia pergi menyambut Thaipusan atau tidak?
Mamak juga Islam
Menurutnya, agak mengejtukan kerana sudah tahun 2026, masih ramai yang tidak mengenali tentang kaum mamak di Malaysia.
Dia menulis: “Ada dua orang pelanggan Melayu luar Penang tanya kepada saya “tak pi [pergi] sambut Thaipusam kah?’. Saya pun kata saya orang Islam dan saya tak sambut Thaipusam.
“Tetapi pelanggan itu masih kata ‘eh bukankah mamak akan sambut juga?’. Pelanggan lagi seorang pula kata ‘kot kot ada adik beradik sambut?’
“Saya tidak tahu apa niat mereka sampai tanya soalan macam itu kepada saya namun saya husnuzon saja mungkin mereka hidup di kampung mereka tidak tahu pasal mamak.”
Seterusnya penulis turut menyatakan seringkali mendengar tentang pandangan yang tidak tepat mengaitkan mamak dengan agama Hnidu.
Sedangkan, mamak memang dilahirkan dalam keluarga muslim.

Penulis menambah: “Mungkin mereka rasa mamak ini ada kaitan dengan agama hindu. Malah ada yang ingat mamak ini orang yang dari agama hindu masuk Islam. Tetapi untuk orang yang tidak tahu tentang mamak, kami mamak memang dari lahir beragama Islam.
“Kami tidak mempunyai adik beradik yang bukan Islam. Bahkan tok kami dan moyang kami pun orang Islam juga.
“Kalau kita tengok di tahun 2026 ini ramai mamak yang jadi imam dan ustaz. Ada saja mamak yang sampaikan hadis-hadis Islam kepada orang Melayu dengan menjadinya sebagai seorang pendakwah.
“Jadi Islam itu bukanlah untuk sesuatu bangsa atau tempat tertentu. Islam itu universal, untuk seluruh makhluk dalam dunia ini. Jadi mamak pun orang Islam juga. Mamak pun beriman kepada Allah dan Rasul.
“Mamak pun ikut rukun Islam dan rukun iman. Cuma mamak ada yang cakap tamil. Tapi itu bukan bermaksud mamak bukan Islam. Tamil itu adalah satu bahasa untuk berkomunikasi sahaja. Yang mamak ikut adalah perintah Allah dan Rasul.”
Dia kemudian mengingatkan bahawa, tuduhan bahawa mamak sebagai bukan Islam adalah perkara yang serius kerana berkaitan dengan akidah.
Dia berkata: “Jadi kepada yang tidak tahu tentang mamak janganlah terus label mamak sebagai orang bukan Islam. Ini soal akidah. Boleh jadi dosa besar jika kita memperlekeh akidah seseorang.”
Akhir sekali Nasi Kandar Sulaiman turut mengingatkan orang ramai agar tidak mempersenda perayaan agama lain.
Dia menutup: “Dan dalam masa yang sama kita sebagai orang Islam tidak perlu perli atau menyindir perayaan agama lain. Kita sepatutnya tunjuk akhlak yang baik yang selaras dengan prinsip Rasulullah SAW.”