Manchester City lawan Real Madrid pada aksi play off untuk ke pusingan 16 akhir Liga Juara Juara Eropah.

Kedua dua pasukan gagal menempatkan diri dalam kedudukan 8 teratas dalam saingan liga kumpulan melibatkan 36 pasukan.

Skuad Pep Guardiola terselamat daripada tersingkir awal pada musim ini dalam saingan UCL. Mujur kemenangan 3-1 ke atas Club Brugge pada aksi terakhir liga membolehkan mereka mara.

Lawan Man City adalah juara 15 kali Liga Juara Juara Eropah iaitu Real Madrid dari Sepanyol.

Skuad Carlo Ancelotti itu semakin mendapat rentak bersama dengan bintang ‘marquee’ baharu mereka, Kylian Mbappe.

Mbappe
Kredit Foto: REUTERS/Juan Medina

Sebelum ini penyerang Perancis itu bergelut untuk menyesuaikan diri.

Ketika ini Real Madrid memimpin carta Liga Sepanyol dengan jurang 4 mata di atas Atletico Madrid.

Manchester City lawan Real Madrid sekali lagi

Pertemuan Manchester City lawan Real Madrid sudah tentunya menjadi tumpuan utama untuk aksi play off kalah mati kali ini.

Ini adalah pertemuan kelima kedua dua pasukan dalam enam musim terakhir di peringkat timbal balik.

Musim lalu, Real Madrid menghampakan hasrat Man City untuk mempertahankan kejuaraan Liga Juara Juara Eropah dengan kemenangan menerusi penentuan penalti di suku akhir di Etihad.

Tahun sebelum itu, Man City menyingkirkan Real Madrid daripada saingan UCL di peringkat separuh akhir untuk mereka melengkapkan kejuaraan UCL pertama kelab itu dan melengkapkan kejuaraan treble.

Erling Haaland
Kredit Foto: REUTERS/Phil Noble

Pemenang antara Manchester City lawan Real Madrid akan bertemu dengan pemenang antara Atletico Madrid lawan Bayer Leverkusen.

Berikut hasil undian penuh untuk aksi play off kalah mati:

Club Brugge lawan Atalanta
Sporting CP lawan Borussia Dortmund
Manchester City lawan Real Madrid
Celtic lawan Bayern Munich
Juventus lawan PSV
Feyenoord lawan Milan
Brest lawan Paris Saint-Germain
Monaco lawan Benfica

Kredit imej: Sky Sports