Manchester United terus jadi bahan ketawa ekoran isu yang melibatkan dua bintang muda pasukan iaitu Alejandro Garnacho dan Kobbie Mainoo.

Baru-baru ini, United meminta kepada seteru utama mereka iaitu Manchester City sama ada mereka boleh menumpangkan Garnacho dan Mainoo dalam penerbangan mereka bagi menghadiri majlis Ballon d’Or pada Isnin ini di Paris.

Garnacho dan Mainoo dicalonkan untuk anugerak Piala Kopa, yang akan diberikan kepada pemain terbaik dunia berumur bawah 21 tahun.

Menurut laporan media di Eropah, City menolak permintaan United secara baik kerana pesawat peribadi yang bakal membawa delegasi serta pemain City sudah penuh.

Manchester City mempunyai lima pemain yang tersenarai bagi anugerah Ballon d’Or iaitu Rodri, Erling Haaland, Phil Foden, Ruben Dias dan Savinho. Manakala pemain wanita iaitu Yui Hasegawa, Lauren Hemp dan Khadija Shaw turut tersenarai.

Sebab utama mengapa Manchester United ‘mengemis’ kepada seteru utama mereka kerana polisi penjimatan kos yang dilaksanakan oleh pemilik baharu kelab iaitu INEOS yang diketuai oleh jutawan Britain, Sir Jim Ratcliffe, yang percaya prospek menghantar dua pemain menaiki jet peribadi dianggap sebagai tidak selaras dengan apa yang mereka lakukan ketika ini.

Perkara ini serta-merta menjadi bahan ketawa di kalangan peminat bola sepak dan ada juga yang mempersoalkan tindakan United yang terlalu ‘berkira’ dengan pemain mereka.

Baru-baru ini, pengurusan tertinggi The Red Devils memecat bekas pengurus legenda kelab itu, Sir Alex Ferguson daripada peranannya sebagai duta global kelab tersebut.

Mempunyai reputasi hebat sebagai pengurus terbaik sepanjang zaman buat kelab itu dengan 38 trofi dimenangi dalam tempoh 26 tahun, Ferguson diberikan tugasan tersebut sejak beliau bersara pada 2013.

Difahamkan sejak daripada itu, beliau telah dibayar sebanyak £2.16 juta setahun dalam menggalas tugasan sebagai duta global pasukan.

Perkara itu mendapat tentangan penyokong setia Manchester United dan Scholes turut berpendapat ia sebagai tanda tidak hormat terhadap legenda ulung kelab itu.

“Saya rasa ia sedikit tidak wajar memandangkan apa yang telah dilakukan oleh beliau (merujuk kepada Sir Alex Ferguson) untuk kelab ini.”

“Agak sedikit tidak menghormati dirinya, tetapi mereka adalah pemilik baru dan pemilik baru membuat perubahan, dan mereka fikir apa yang mereka lakukan adalah yang terbaik untuk kelab,” katanya.