Pemain kelahiran Argentina, Manuel Hidalgo dilaporkan semakin hampir untuk kembali beraksi bersama Sri Pahang bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan The Star, T.Avineshwaran dimana Pahang mahu memperkuatkan bahagian sayap dan mereka mahu mendapatkan khidmat Hidalgo.

Baca Juga:

Hidalgo sendiri tidak asing dengan pasukan Pahang dimana kali pertama beliau beraksi di Malaysia ialah bersama pasukan itu pada musim 2022.

Prestasi cemerlang yang ditampilkan oleh pemain berusia 24 tahun itu berjaya menarik minat Kedah Darul Aman yang dikendalikan oleh Nafuzi Zain untuk mendapatkan khidmatnya pada musim lalu.

Akan tetapi, bekas pemain Sheffield Wednesday itu gagal mengulangi prestasi cemerlang yang ditampilkan ketika bersama Pahang apabila menyarung jersi Kedah musim lalu.

Setelah masalah tunggakan gaji melanda pasukan, nasib pemain dan pasukan Kedah sendiri masih belum pasti dan kelab lain dalam saingan Liga Super mula mencorak langkah untuk memancing pemain utama Kedah.

Selain Manuel Hidalgo, Pahang turut memburu khidmat pemain sayap muda yang sedang meningkat naik, T.Saravanan bagi memperkuatkan pasukan.

Sama seperti Kedah, isu kewangan turut melanda Kuala Lumpur City sekaligus menyebabkan beberapa pemain utama memutuskan untuk berhijrah ke pasukan lain yang lebih stabil.

Setakat ini, KL City kehilangan khidmat Akram Mahinan yang menyertai Terengganu dan Romel Morales yang baru sahaja diumumkan sebagai pemain baharu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Musim lalu, Sri Pahang bimbingan Fandi Ahmad menamatkan saingan di tangga keenam dalam carta Liga Super.