Bagi mengelakkan isu buli di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berulang, Majlis Amanah Rakyat (MARA) bakal memulakan projek rintis pengambilan warden sepenuh masa daripada kalangan bekas pegawai tentera dan polis.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi MARA, Dr Asyraf Wajdi menerusi hantaran Facebook.

Baca Juga:

Menurutnya projek rintis itu bagi membentuk displin para pelajar pada masa sama membendung masalah buli, sifar buli di MRSM.

“Cadangan ini telah saya bangkitkan dalam Majlis MARA dan telah dipersetujui sebulat suara. Buat permulaan ini, projek rintis (pilot) akan dimulakan dengan melibatkan beberapa MRSM bagi melihat dan mengkaji keberkesanan inisiatif ini.

“Kerjasama juga akan dilakukan dengan Persatuan Veteran Tentera dan Bekas Polis bagi mengenal pasti kriteria pemilihan.

“Bahagian Pendidikan Menengah MARA juga akan menyediakan garis panduan yang jelas berkenaan terma-terma rujukan (TOR) tanggubgjawab dan bidang tugas Warden di MRSM,” kata Dr Asyraf.

Tambahnya lagi, inisiatif itu penting untuk memastikan pembangunan sahsiah, disiplin dan akhlak pelajar-pelajar MRSM sentiasa dapat diperkasakan seiring dengan falsafah pendidikan yang mahu melahirkan generasi yang cemerlang secara holistik dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.