Dalam kemas kini terbaharu kes Rozita Che Wan atau Che Ta, Bahagian undang-undang Majlis Amanah Rakyat (MARA) kini dalam proses pemfailan kebankrapan terhadap pelakon itu, anak sulungnya, Ammar Effendy, 28, yang gagal membayar pinjaman hampir RM1 juta sejak 2017.

Memetik Berita Harian, langkah itu adalah prosedur susulan yang dilakukan terhadap pelakon itu yang gagal melunaskan hutangnya dalam tempoh tujuh tahun. Walaupun pelbagai usaha diambil MARA bagi mendapatkan semula wang berkenaan sehingga membawa kes itu ke mahkamah, petik Berita Harian.

Baca Juga:

Laporan portal itu menyatakan pinjaman MARA berjumlah RM960,000 dibuat syarikat milik pelakon itu, RCW Worldwide Sdn Bhd di mana Rozita dan anak lelakinya itu sebagai penjamin.

Pada Julai 2023, MARA sudah memfailkan notis kebankrapan kepada Rozita dan anaknya itu tetapi disebabkan wujud isu teknikal, ia ditarik balik pada bulan lalu. Kemudian tindakan writ penyitaan dan penjualan (WSS) harta pelakon terbabit diteruskan seperti yang tular pada Selasa lalu.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata tindakan kebankrapan kali ini hanya akan dihentikan jika Rozita membayar sepenuhnya pinjaman itu susulan MARA tidak lagi memberi pelanjutan tempoh pembayaran hutang terbabit selepas mahkamah membuat keputusan muktamad mengenainya.

Beliau berkata, tindakan itu adalah proses sama yang diambil MARA terhadap mana-mana peminjam yang enggan atau gagal melunaskan hutang mereka seperti terkandung dalam perjanjian ditandatangani selepas pelbagai pemudah cara pembayaran diberikan.

“Saya sudah mengarahkan bahagian undang-undang MARA mengambil tindakan muflis terhadap pelakon itu kerana kita sudah memberi tempoh secukupnya untuk beliau melunaskan hutang pinjaman hampir RM1 juta yang dibuatnya sejak tujuh tahun lalu.

“Tiada siapa boleh menghalang tindakan MARA ini kerana ia perintah mahkamah. Sebenarnya, kita tidak sewenang-wenangnya mengambil tindakan terhadap peminjam yang culas atau memilih bulu dalam tindakan dilakukan.

“Ini kerana MARA terikat dengan prosedur dan proses yang ketat menurut lunas undang-undang, malah sebelum sebarang tindakan perundangan dilakukan, nilai ‘ihsan’ juga diutamakan dengan memberi ruang kepada peminjam yang bermasalah untuk datang ke MARA berunding mengenai penjadualan dan penstrukturan hutang mereka,” katanya kepada Berita Harian.

Tambahnya, MARA sebelum itu sudah membuka pintu rundingan supaya penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman dapat dilakukan jika mereka menghadapi masalah.

“Bagaimanapun, bagi kes pelakon ini, saya difahamkan dia tidak memberi kerjasama sepatutnya, malah kes berlarutan lama kerana banyak kali mahkamah ditangguhkan kerana dia membuat pertukaran peguam,” katanya.

Dr Asyraf turut menyatakan nilai sebenar barangan yang disita dari rumah pelakon itu jauh lebih rendah daripada hutang sebenar yang perlu dibayar semula kepada MARA.

Sumber