Wakil negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 Asians Champions League (ACL) Elite 2024/25 dengan penuh bergaya hasil kejayaan menundukkan Pohang Steelers 5-2 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.

Kejayaan tersebut sekali gus menyaksikan skuad kendalian Hector Bidoglio itu akan berhadapan dengan satu lagi kelab Korea Selatan, Gwangju dalam aksi timbal balik nanti.

Baca Juga:

Dalam mewujudkan sebuah pasukan mantap bagi menghadapi saingan paling berprestij di Asia ini, JDT pastinya berbelanja besar untuk mencapai tahap ini.

Namun, pepatah popular ‘high risk, high return’  boleh dikaitkan dengan perjalanan JDT hingga berjaya melepasi peringkat kumpulan untuk bersaing di pusingan 16.

Bukan itu sahaja, pelaburan tinggi tersebut juga telah membawa pulangan lumayan dengan jutaan ringgit diterima hasil penglibatan, kemenangan dan kemaraan ke pusingan seterusnya.

Wang Besar Buat JDT

Menurut kenyataan dikeluarkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), setiap pasukan yang bersaing dalam ACL Elite 2024/25 akan menerima $800,000 (RM 3,553,705.42)sebagai bayaran bonus penyertaan.

Bagi setiap perlawanan di peringkat kumpulan, bonus prestasi sebanyak $100,000 akan diberikan kepada pasukan yang meraih kemenangan.

Susulan dengan empat kemenangan yang diraih iaitu ketika bertemu Shanghai Shenhua, Ulsan Hyundai, Central Coast Mariners dan Pohang Steelers , ini bermakna JDT telah menerima bonus prestasi sebanyak $400,000 (RM1,776,959.68)

Selain itu, kemaraan ke pusingan 16 pula menyaksikan skuad Harimau Selatan menerima tambahan dana sebanyak $200,000 (RM888,516.19).

Daripada tiga nilai yang dinyatakan, jumlah keseluruhan yang diterima setakat ini oleh JDT setakat peringkat kumpulan dan mara ke pusingan 16 ialah sebanyak $1,400,000 (RM6,219,474.11)

Informasi lain berkaitan wang diterima, tambahan $200,000 (RM888,516.19) secara keseluruhan bagi empat perlawanan diberikan kepada setiap pasukan yang perlu menghadapi aksi di tempat lawan.

Ia berikutan pemberian $50,000 (RM222,121.70) bagi setiap perlawanan di tempat lawan sebagai perbelanjaan perjalanan.

*Kiraan nilai wang adalah berdasarkan nilai tukaran terkini