Penolong jurulatih skuad senior negara, Mark Milligan telah meninggalkan pasukan dimana beliau dilaporkan menyertai kelab luar negara.

Perkara ini diumumkan oleh ketua jurulatih iaitu Peter Cklamovski menerusi laman rasmi skuad Harimau Malaya di media sosial baru-baru ini.

Baca Juga:

Peter Ucap Terima Kasih Kepada Mark Milligan

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Mark Milligan atas sumbangannya kepada pasukan kebangsaan Harimau Malaya.
Mark Milligan
Sumber Gambar: Malaysia NT
“Sungguhpun tempohnya singkat, beliau membantu langkah pertama bagi tempoh penting untuk persiapan aksi Malaysia menentang Nepal.
“Kami memahami dan menyokong keputusannya untuk mencari peluang di luar negara. Kami mengucapkan segala yang terbaik dalam usaha beliau pada masa hadapan,” kata Peter.
Menurut laporam NST, Mark Milligan menjadi salah satu calon bagi mengendalikan kelab yang beraksi di Liga Australia iaitu Newcastle Jets.
Mark Milligan
Mark Milligan

“Newcastle Jets telah berpisah dengan Rob Stanton hanya beberapa bulan selepas dia menandatangani lanjutan kontrak selama dua tahun. Bagaimanapun, dia akan terus mengetuai pasukan sehingga akhir musim Liga-A.

“Bekas pemain tengah Socceroos Milligan, yang pernah berkhidmat sebentar dengan Newcastle pada musim 2008-09, dijangka dinamakan sebagai penggantinya,” dipetik dari laporan.

Selepas dilantik sebagai salah seorang staf kejurulatihan, tugasan pertama Milligan ialah aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim bulan lalu.

Dalam perlawanan tersebut, Malaysia berjaya mencatat kemenangan 2-0 hasil jaringan dari Hector Hevel dan La’Vere Corbin-Ong sekaligus memulakan saingan kelayakan dengan langkah kanan.

Sehingga artikel ini ditulis, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum mengumumkan pengganti kepada Milligan.

Pasukan negara akan turun menentang Vietnam di laman sendiri pada 10 Jun dalam perlawanan kedua kelayakan.