Martin Zubimendi telah menolak perpindahan ke Liverpool ketika kelab Inggeris itu sedia membayar klausa pelepasan €55 juta pada kontrak pemain itu.

Liverpool sebelum ini menunggu kata putus daripada Zubimendi untuk mengaktifkan klausa tersebut.

Namun penantian agak lama Liverpool menemui kehampaan apabila pemain tengah no.6 itu memutuskan untuk terus kekal di kelab yang dia sokong sejak dari kecil.

Pendirian Real Sociedad juga memainkan peranan penting dalam keputusan pemain itu untuk terus kekal. Kerana kelab itu tidak mahu menjual pemain muda tersebut pada masa ini.

Liverpool terdesak untuk mendapatkan rekrut pertama mereka pada jendela perpindahan pertama Arne Slot sebagai pengurus.

Bahagian tengah menjadi bahagian yang mahu diperkuatkan oleh Liverpool. Musim lalu Liverpool ditolak oleh Jude Bellingham, Romeo Lavia dan Moises Caicedo.

Dan kali ini badi penolakan pemain tengah berterusan di Liverpool daripada pemain yang menjadi sasaran utama mereka.

Paling mengejutkan pastinya penolakan oleh Zubimendi yang mahu terus kekal di kelabnya. Di mana kelab tersebut turut menawarkan kontrak baharu yang jauh lebih rendah berbanding pakej ditawarkan oleh Liverpool.

Liverpool akan memulakan era pertama tanpa Klopp setelah pengurus legenda Jerman itu memutuskan untuk berehat selepas tamat musim lalu.

Arne Slot mengambil alih dari Klopp. Dan tekanan pastinya sudah dijangka oleh bekas pengurus Belanda itu.