Seorang remaja Acheh bernama Martunis, 17 tahun (tarikh lahir 10 Oktober 1997), terselamat daripada tsunami besar pada tahun 2004 ketika berusia 7 tahun, kini mencapai cita-citanya untuk menjadi pemain bola sepak profesional dengan menandatangani perjanjian bersama-sama sebuah kelab Portugal, Sporting Lisbon. Sporting Lisbon merupakan kelab pertama tempat pemain bola sepak terkenal, Cristiano Ronaldo dan Luis Figo bermain.
Anak ini mendapat perhatian warga Portugal, apabila beliau ditemui sehelai sepinggang tetapi memakai jersi Portugal bernombor 10, milik Rui Costa.
Peristiwa Tsunami
Pada waktu pagi 26 Disember 2004, Martunis bermain bola sepak bersama rakan-rakannya di gelanggang bola sepak kampung. Beliau memakai jersi tiruan nasional Portugal yang dibeli di kota Banda Acheh. Ketika bermain, tiba-tiba ombak besar tsunami melanda. Martunis berlari pulang ke rumah, dan bersama-sama ibunya, Salwa, abangnya, Nurul A’la (12 tahun) dan adiknya Annisa (2 tahun) sempat menaiki lori pick up jirannya untuk menyelamatkan diri. Malangnya, akhirnya ombak besar itu sempat menangkap lori pick up tersebut, dan menenggelamkan mereka semua. Mujur bagi Martunis, beliau dipukul gelombang dan muncul semula ke permukaan air. Sebelum terpisah dengan keluarganya, Martunis sempat menarik lengan adiknya yang meminta tolong, tetapi tangan kecilnya kalah dengan arus tsunami yang deras. Ibu, abang dan adiknya dibawa arus deras, dan mereka terpisah buat selama-lamanya.
Martunis berpaut pada sepotong kayu yang terapung, kemudian berpaut pada sebuah tilam sebelum ianya tenggelam, dan kemudian sempat memanjat ke atas sebatang pohon untuk bertahan hidup. Arus tsunami kian surut dan akhirnya beliau terdampar di kawasan paya berhampiran makam Teungku Syiah Kuala. Selama 21 hari terdampar, Martunis hanya makan makanan yang hanyut seperti roti, biskut, mee segera dan air mineral.
Pada hari ke-21, Martunis mengalami dehidrasi, kekurangan zat dan di ambang kematian sebelum ditemui oleh penduduk tempatan dan wartawan Sky News dari England. Wartawan Sky News itu kemudiannya membantu Martunis mendapatkan bantuan dari staf badan kebajikan ‘Save The Children’ yang membawanya ke hospital.
Apabila ditemu bual oleh wartawan, Martunis berkata, “Saya tidak takut sama sekali. Saya mahu hidup dan bertemu dengan keluarga saya kembali dan menjadi pemain bola sepak.”
Ketika kejadian, bapa Martunis, Sarbini, sedang bekerja di laut dan terselamat daripada peristiwa tersebut.
Menjadi Anak Angkat Cristiano Ronaldo
Temu bual beliau mendapat perhatian ramai. Dalam masa sekejab sahaja, cerita anak kecil yang memakai jersi Portugal ini beredar di antara stesyen-stesyen televisyen Eropah dan mengundang minat orang ramai. Kisah anak kecil ini menarik simpati pemain bola sepak ternama Portugal seperti Luis Figo, Nuno Gomes, Cristiano Ronaldo, pengurus pasukan Luiz Felipe Scolari, dan Gilberto Madail, ketua Federasi Bola Sepak Portugal. Akhirnya, beliau, bapa beliau dan seorang doktor iringan dijemput secara rasmi oleh Federasi Bola Sepak Portugal untuk melawat negara itu.
Setahun selepas itu, pengurus pasukan Portugal – Luiz Felipe Scolari berjaya mendapatkan Cristiano Ronaldo (ketika itu masih berkhidmat dengan Manchester United) untuk berhenti sebentar di Banda Aceh semasa beliau dalam perjalanan pulang daripada permainan pre-season kelab itu di bahagian timur. Cristiano meluangkan masa bersama Martunis dan menghadiahkan beliau sehelai jersey dengan nama Cristiano di belakangnya. Beliau juga menghadiahkan beliau telefon bimbit berserta nombor telefon pemain-pemain Portugal. Federasi Bola Sepak Portugis juga menghadiahkan derma sebanyak €70,000 untuk membina semula rumah mereka yang telah rebah.
Ronaldo berkongsi pengalaman beliau bertemu Martunis pada tahun 2004, “Beliau sangat pemalu dan sangat jarang bercakap. Saya menunjukkan beliau telefon bimbit saya. Beliau tidak pernah melihatnya sebelum ini dan meminta nombor telefon saya. Kemudian kami bermain Playstation. Apabila saya membuka komputer saya dan menunjukkan beliau permainan komputer, matanya bersinar-sinar penuh keterujaan kerana beliau belum pernah melihatnya sebelum ini. Beliau sangat berani, seorang anak istimewa yang pernah melalui pengalaman di mana ramai orang dewasa tidak akan mampu menghadapinya.”
Ronaldo membiayai pendidikan Martunis sejak itu. Martunis pula mengabadikan hidupnya untuk mengejar cita-cita menjadi pemain bola sepak profesional. Setiap hari, dia bermain bola sepak di Akademi Bola Sepak Yayasan Real Madrid di Banda Acheh.
Ronaldo dan Martunis bertemu kembali pada tahun 2014 di Bali Indonesia. Ketika itu Ronaldo dilantik sebagai duta kempen pemuliharaan paya bakau di Indonesia. Ronaldo memberitahunya supaya ‘belajar rajin-rajin dan berlatih selalu’.
Diberi Peluang Bermain Dengan Sporting Lisbon
Martunis tidak berjaya menempatkan diri dalam pasukan kebangsaan Indonesia bawah-19 tahun.
“Saya diberitahu oleh jurulatih yang saya terlalu kurus dan cepat letih,” kata Martunis yang bermain sebagai penyerang.
Tetapi Martunis tetap tidak berputus asa.
Kini, beliau diterbangkan ke Portugal untuk belajar dan bermain di salah sebuah akademi bola sepak terbesar di Portugal, Sporting Lisbon. “Hobi saya adalah bermain bola sepak. Saya tidak minat sukan lain kerana bola sepak adalah satu-satunya minat saya. Datuk saya dahulu adalah seorang pemain bola sepak dan saya ingin menjadi sepertinya apabila dewasa,” kata Martunis pada tahun 2008.
“Martunis akan bermain untuk pasukan akademi, yang bekerjasama dengan kami, dalam pantauan Sporting. Kami juga akan membantunya berkembang sebagai seorang pemain dan manusia,” kata Bruno de Carvalho, Presiden kelab Sporting Lisbon.
Kata Martunis pula, “Saya gembira dengan peluang ini. Kelab ini menunaikan impian saya. Viva Sporting!”
Harapan Ayah
Ayah Martunis, Sarbini, sangat mendukung cita-cita anaknya walaupun di tengah kekurangan yang mereka alami. “Saya membiarkan dia bermain bola sepak pada waktu petang. Saya meminta dia untuk pergi ke sekolah dan belajar membaca Al-Quran serta mengikuti kursus bahasa Inggeris.”
“Saya ingin dia menjadi anak pintar dengan masa depan yang cerah. Saya tidak ingin dia berakhir seperti saya, yang tidak mendapatkan pendidikan yang baik. Saya harap dia mendapat pekerjaan yang bagus pada masa hadapan,” ujarnya lagi.
“Saya akan jadi sangat bangga apabila dia dapat menikmati kehidupannya dengan baik atau menjadi pemain sepak bola profesional,” ujar Sarbini.
Pengumuman Yang Penuh Emosi
Pengumuman penyertaan Martunis dalam pasukan Sporting Lisbon adalah sesuatu yang penuh emosi.
Semoga berjaya Martunis. Kami mendoakan kejayaanmu!
BACA: Kanak-Kanak Ini Dapat Baju Kerana Terkena Bola Sepakan Cristiano Ronaldo
BACA Lagi: 50 Kemahiran Dan Trick Terbaik Bola Sepak Yang Pernah Dilakukan Semasa Perlawanan Berlangsung
Sumber: Brilio, Wikipedia, Semuanya Bola, Liputan 6, Kabar Indonesia, Footynions, Sindonews