Seorang pegawai sukan Somalia telah digantung tugas kerana nepotisme pada Rabu selepas video menunjukkan seorang pelari wanita negara itu menamatkan larian di tempat terakhir tular ketika bertanding di satu pertandingan antarabangsa.

Video tersebut memaparkan Nasro Abukar Ali bersaing dalam acara pusingan pertama acara wanita 100 meter pada Sukan Universiti Sedunia Musim Panas Federasi Sukan Universiti Antarabangsa (FISU) di China.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Ali memulakan perlumbaan dengan sangat perlahan dan tertinggal jauh di belakang pelari lain dan seperti jogging menuju garisan penamat.

Dia menamatkan perlumbaan dengan masa 21.81 saat – lebih 8 saat berbanding pelari kedua terakhir dan lebih 10 saat daripada pemenang pusingan tersebut.

Video tersebut segera mencetuskan reaksi di media sosial dan ramai mempertikaikan bagaimana seorang gadis yang tidak terlatih boleh mewakili negara.

“Amat mengecewakan untuk menyaksikan kerajaan yang tidak kompeten. Bagaimana mereka boleh memilih seorang gadis yang tidak terlatih untuk mewakili Somalia dalam acara lari?” tulis seorang warganet di Twitter.

Pada Rabu, Kementerian Belia dan Sukan Somalia mengumumkan bahawa mereka telah menggantung jawatan Khadijo Aden Dahir, pengerusi Persatuan Atletik Somalia.

Kementerian tersebut mendakwa Dahir terlibat dalam ‘tindakan penyalahgunaan kuasa, nepotisme, dan memburukkan nama negara di arena antarabangsa’, dalam surat yang ditujukan kepada Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Somalia dan diumumkan di Twitter oleh kementerian.

Menteri Belia dan Sukan Somalia, Mohamed Barre Mohamud, berkata Ali bukanlah ‘seorang ahli sukan mahupun pelari’. Mohamud sebelum ini telah ‘meminta maaf’ atas insiden tersebut dalam sebuah video Facebook. “Apa yang berlaku hari ini tidak mewakili rakyat Somalia,” katanya.

Pada hari Selasa, Persatuan Universiti Somalia dalam satu kenyataan menyatakan bahawa mereka tidak menghantar mana-mana pelari ke acara tersebut.

Sukan Universiti Sedunia Musim Panas masih berlangsung di Chengdu, barat daya China.

Sumber