Perkongsian pempengaruh terkenal, Maryam Durian Kimchi baur baru mencuri perhatian ramai apabila sebuah video memaparkan dirinya dalam keadaan sebak menjadi tular di media sosial.
Dalam video tersebut, Maryam mendedahkan dia terpaksa membuat keputusan yang cukup berat — berpisah dengan anjing kesayangannya yang sudah lama dijaga seperti ahli keluarga sendiri.
Apa yang lebih mengejutkan, dia sanggup membayar sehingga RM100,000 kepada individu yang dipercayai bagi memastikan haiwan itu dijaga dengan baik.
Menurut perkongsian tersebut, keputusan itu bukan dibuat secara terburu-buru. Sebaliknya, ia hadir selepas mempertimbangkan pelbagai faktor termasuk kebajikan haiwan berkenaan dalam jangka masa panjang.
Jelas terpancar kesedihan di wajahnya, namun Maryam memilih untuk melakukan apa yang dirasakan terbaik demi keluarganya dan haiwan kesayangannya itu.
Dipetik daripada Oh Bulan, Maryam berkata: “Anjing itu saya jaga dia empat tahun. Bagi sesiapa yang pernah jaga haiwan peliharaan, mesti tahu [perasaan saya]. Namun kami kena berpisah.
“Dia memang saya anggap seperti anak saya, sudah menjadi sebahagian daripada diri saya.
“Ketika itu saya menangis sebab kena tinggalkan dia, ada rasa bersalah jadi saya bagi orang jaga dia sampai sekarang.
“Saya bagi orang yang jaga itu RM100,000.”
@aididitmyway “Saya bagi Rm100k untuk jaga anjing saya…” #AIDIDITMYWAY #Podcast #DurianKimchi Guest : @Duriankimchi @Ryzal Ibrahim
Tindakan itu turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Rata-rata memuji sikap bertanggungjawab yang ditunjukkan, selain menganggap pengorbanan tersebut sebagai bukti kasih sayang yang tulus terhadap haiwan peliharaan.
Dalam masa sama, kisah ini secara tidak langsung membuka perbincangan lebih luas mengenai tanggungjawab membela haiwan dan juga pengorbanan seorang mualaf.
Selain itu ramai juga yang memahami perasan Maryam apabila terpaksa berpisah dengan haiwan kesayangannya.