Pengguna Netflix Inc kini didapati meluangkan masa menonton yang lebih rendah berbanding sebelum ini, sekali gus menandakan cabaran baharu terhadap kadar penglibatan (engagement) penonton bagi syarikat hiburan paling bernilai di dunia itu.
Menurut sumber yang enggan dikenali kerana data berkenaan bersifat sulit, pelanggan kini tidak lagi membuka aplikasi penstriman itu sekerap beberapa tahun lalu, petik The Edge Malaysia.
Syarikat berkenaan menggunakan metrik dalaman yang dikenali sebagai Qualified Play Days (QPD) bagi memantau kekerapan pelanggan mengakses perkhidmatan mereka setiap bulan.
Selain kekerapan akses yang menurun, purata masa tontonan bagi setiap individu turut mencatatkan penurunan. Walaupun jumlah keseluruhan masa penggunaan aplikasi meningkat sebanyak beberapa peratus pada separuh pertama tahun ini, peningkatan itu didorong oleh pertambahan jumlah pelanggan baharu, bukannya peningkatan tempoh tontonan sedia ada.
Aliran penurunan ini mula dikesan selepas Netflix mengambil tindakan tegas menyekat perkongsian kata laluan pada 2022.
Pada mulanya, pihak pengurusan menjangkakan kesan itu hanya bersifat sementara akibat pengurangan pengguna bagi setiap akaun.
Namun, penerusan trend tersebut menimbulkan kebimbangan bahawa pelanggan mula merasakan nilai perkhidmatan semakin berkurangan atau beralih kepada platform saingan.
Kadar tontonan Netflix di Amerika Syarikat (AS) dilaporkan mengalami genjotan berikutan persaingan sengit daripada platform percuma seperti YouTube.
Memetik The Edge Malaysia, Keadaan ini turut diperkukuh oleh data firma pemantau aplikasi mudah alih, Apptopia, yang merekodkan peningkatan sebanyak 16.6 peratus bagi kadar pelanggan di AS yang tidak membuka aplikasi tersebut pada suku ketiga berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Dalam satu sesi taklimat bersama penganalisis minggu ini, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Netflix, Ted Sarandos, mengakui situasi pasaran domestik mereka.
“Kadar tontonan, khususnya di Amerika Syarikat, tidak berkembang sepantas yang sepatutnya atau seperti yang kami harapkan,” kata Sarandos.
Walau bagaimanapun, Sarandos dan rakan sejawatnya, Greg Peters, menegaskan operasi syarikat di luar AS kekal kukuh dan disokong model perniagaan yang sihat. Kadar pembatalan langganan (churn rate) di AS dilaporkan stabil pada paras 2 peratus — kekal sebagai yang terbaik dalam industri penstriman menurut firma penyelidikan Antenna. Langkah kenaikan harga baru-baru ini juga tidak mencetuskan lonjakan luar biasa dalam pembatalan akaun.
Ketika berucap dalam sesi perjumpaan bersama warga kerja Netflix minggu ini, Peters cuba meredakan kebimbangan pelabur mengenai kelembapan pertumbuhan syarikat.
“Dua perkara ini boleh berlaku serentak,” tegas Peters. “Kita memiliki perniagaan yang berkembang pesat, menguntungkan, dan dicemburui ramai. Namun pada masa yang sama, kita sedar ada banyak lagi kerja yang perlu dilakukan untuk memacu pertumbuhan yang lebih besar.”
Di pasaran saham, saham Netflix telah merosot sekitar 29 peratus tahun ini susulan kebimbangan pelabur terhadap pertumbuhan pendapatan yang semakin perlahan bagi suku ketiga berturut-turut. Selain itu, jualan iklan bagi tahun ini dijangka susut sekitar AS$300 juta (RM1.23 bilion) daripada unjuran awal ekoran kelewatan pelancaran produk baharu.
Bagi menangani isu kekurangan naskhah hit serta kesukaran mengekalkan minat penonton terhadap musim lanjutan siri popular, Netflix telah meningkatkan belanjawan program dan mula meneroka segmen baharu seperti audio siar (podcast) serta siaran sukan secara langsung.
Langkah drastik turut diambil di peringkat kepimpinan kandungan bagi memperkukuh pasaran AS. Awal bulan ini, Netflix menamatkan perkhidmatan Ketua Pegawai Kandungan Bela Bajaria serta Ketua Bahagian Filem Dan Lin, di samping mengurangkan 6 peratus tenaga kerja syarikat. Bekas eksekutif Walt Disney Co dan 21st Century Fox, Peter Rice, kini dilantik untuk mengetuai strategi kandungan baharu gergasi penstriman tersebut.