Lonjakan permintaan terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI) telah mencatatkan keuntungan luar biasa buat syarikat cip global.
Namun, situasi di Taiwan agak tegang apabila ratusan pekerja gergasi memori dari Amerika Syarikat, Micron Technology, mengadakan perhimpunan bagi menuntut ganjaran yang lebih adil.
Meskipun syarikat mengumumkan tawaran bonus sehingga 68 bulan gaji, para pekerja menganggap jumlah tersebut masih tidak sepadan dengan hasil kerja dan keuntungan besar yang diraih syarikat.
Tuntutan Bonus 83 Bulan Dan Agihan Keuntungan
Pihak pengurusan Micron sebelum ini mengumumkan pakej ganjaran bagi tahun kewangan 2026 bernilai antara 35 hingga 68 bulan gaji, dengan pampasan tunai minimum bernilai NT$1.7 juta (sekitar US$53,200).
Walau bagaimanapun, dua kesatuan pekerja yang mewakili hampir 12,000 daripada 15,000 tenaga kerja di kilang Taoyuan dan Taichung menolak tawaran berkenaan.
Berhimpun di sebuah gelanggang bola keranjang berhampiran kilang Taoyuan, mereka menuntut bonus secara ‘one-off’ sebanyak 83 bulan gaji.
Selain itu, mereka mahu sistem kekal yang mengagihkan 15 peratus daripada keuntungan kendalian syarikat secara suku tahunan.
Seorang juruteknik pengeluaran yang mahu dikenali sebagai Lin menegaskan bahawa tindakan mereka adalah demi kebaikan bersama.
“Saya rasa ini adalah sesuatu yang memang layak kami terima. Kami mesti mempertahankan hak ini bukan sahaja untuk diri kami, tetapi juga demi seluruh pekerja di Taiwan,” katanya.
Persaingan Sengit Dengan Pesaing Industri
Micron mengeluarkan sekitar 50 hingga 60 peratus cip memori mereka di Taiwan. Impak sumbangan pekerja tempatan ini terbukti apabila syarikat merekodkan pendapatan tertinggi sebanyak $41.5 bilion bagi suku tahun yang berakhir Mei lalu.
Seorang jurutera berusia 40-an yang dikenali sebagai Tsai menyatakan bahawa tawaran Micron jauh daripada jangkaan sebenar. Pandangan tersebut turut disokong oleh Ken Wu, 49, yang menggesa Micron supaya melihat standard yang ditetapkan oleh pesaing industri.
“Micron patut lihat bagaimana pesaing industri melayan pekerja mereka. Hanya dengan cara itu Micron boleh kekal bersaing dan menarik bakat terbaik,” jelas Ken Wu.
Isu ini timbul berikutan tindakan Samsung Electronics di Korea Selatan yang berjaya mengelakkan mogok pekerja selepas bersetuju mengagihkan bonus berjumah 10.5 peratus daripada keuntungan kendalian kepada pekerja bahagian semikonduktor mereka.
Tekanan Di Tengah-Tengah Demam AI
Penganalisis dari Counterpoint Research, Neil Shah, menjelaskan bahawa Micron kini berada dalam perlumbaan masa menentang gergasi seperti Samsung dan SK Hynix.
Menurut beliau, keupayaan kapasiti pengeluaran merupakan kekangan utama pada masa ini, sekali gus menjadikan tenaga kerja di Taiwan sangat penting.
“Micron perlu mencari jalan penyelesaian secepat mungkin, terutamanya apabila Samsung sudah menetapkan penanda aras baharu dalam industri,” kata Neil Shah.
Rundingan antara pihak kesatuan dan pengurusan Micron yang dimediasi oleh kerajaan kini menjadi tumpuan. Sekiranya rundingan gagal, pihak kesatuan menegaskan mereka tidak ragu-ragu untuk melancarkan mogok di hab kritikal bernilai lebih NT$1.6 trilion itu.