Masjid Negara membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap isu kontroversi pengawal keselamatannya yang meminta seorang pengunjung lelaki memakai tudung.

Video berkenaan yang tular sejak semalam dirakam pengunjung lelaki berkenaan yang berkata dia tidak perlu memakai tudung di dalam masjid kerana dia seorang lelaki namun pengawal tersebut berkeras menyuruhnya berbuat demikian.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Dalam satu kenyataan hari ini, Masjid Negara bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan pihaknya telah memberi teguran kepada pengawal keselamatan terbabit agar lebih peka dalam menjalankan tugas.

“Video yang telah tular di media sosial berkaitan teguran staff Masjid Negara kepada seorang pengunjung lelaki yang diminta untuk memakai tudung telah diulang siar (re-posted) dan muncul video reaksi (stitch) di atas posting terbabit.

“Pihak Pengurusan Masjid Negara mengambil serius terhadap perkara ini dan dengan rendah hati memohon maaf di atas kekhilafan dan kekeliruan Pengawal keselamatan wanita tersebut.

“Untuk makluman, Pengawal Keselamatan adalah lantikan pihak ketiga iaitu syarikat keselamatan yang dilantik melalui perolehan kerajaan. Pengawal Keselamatan terbabit telah diberi teguran agar lebih peka dalam menjalankan tugas,” tulis kenyataan yang disiarkan di Facebook rasmi Masjid Negara.

Masjid negara turut mengingatkan para pengunjung boleh mengemukakan aduan terhadap mana-mana tindakan pengawal keselamatan melalui kod imbas yang telah disediakan bersama-sama butiran Pengawal Keselamatan di meja pos masing-masing atau klik pautan yang diberikan bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Pihak Pengurusan Masjid Negara juga akan memastikan perkara seperti itu tidak berulang di masa akan datang bagi menjamin reputasi dan imej institusi masjid kekal terpelihara.