Niat asal hanya untuk berseronok dan menyertai acara larian santai pada hujung minggu lalu bertukar menjadi igauan ngeri buat 12 rakyat Malaysia. Kesemua mereka telah ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia gara-gara tindakan berani menyusup masuk ke negara jiran itu melalui laluan yang tidak sah.
Memetik Berita Harian bersumberkan laporan satukaltara.com, kumpulan peminat sukan larian tersebut ditahan dalam satu operasi yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Nunukan pada Sabtu lalu. Tangkapan tersebut dilakukan di dua lokasi berasingan di sekitar Pulau Sebatik.

Ketua Seksyen Perisikan dan Penguatkuasaan Imigresen Nunukan, Fredy, mengesahkan penahanan tersebut yang melibatkan tujuh lelaki dan baki lima individu lagi dipercayai wanita.
“Seramai 10 individu ditahan di sebuah hotel pada malam Sabtu, manakala dua lagi diberkas di lokasi acara ketika bersiap sedia untuk menyertai larian,” kata beliau menerusi satu kenyataan rasmi.
Difahamkan, kumpulan peserta ini mula berminat untuk menyertai acara Fun Run 5K 2026 Sebatik di pulau tersebut selepas melihat promosi yang giat dijalankan menerusi platform media sosial. Namun, demi mengelakkan perjalanan yang panjang, mereka mengambil jalan mudah dengan membolos sempadan secara haram.
Menurut Fredy, jika mereka memilih untuk masuk melalui laluan rasmi, peserta dari Sabah perlu menempuh perjalanan yang jauh dengan menaiki feri dari Tawau ke Nunukan terlebih dahulu, sebelum menyambung perjalanan menaiki bot laju menuju ke Sebatik.
“Mereka mengaku sengaja menggunakan laluan yang tidak diwartakan bagi menjimatkan masa dan tenaga, supaya mereka dapat berehat secukupnya sebelum acara larian berlangsung pada pagi Ahad,” jelasnya mengulas mengenai motif kumpulan tersebut.
Lebih mengejutkan, hasil siasatan awal mendedahkan bahawa hanya lima individu daripada kumpulan tersebut yang memiliki pasport.
Bagaimanapun, pemilikan pasport itu tidak bermakna memandangkan kesemua mereka tetap melakukan kesalahan kerana memasuki wilayah Indonesia tanpa melapor diri di Tempat Pemeriksaan Imigresen (TPI) yang sah.
“Walau apa pun alasan yang diberikan, tindakan memasuki sesebuah negara secara tidak sah adalah satu kesalahan besar di sisi undang-undang. Justeru, mereka kini ditahan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya,” tegas Fredy lagi.
Sementara itu, insiden ini turut mendapat perhatian Koordinator Fun Run 5K 2026 Sebatik. Pihak penganjur menegaskan bahawa mereka sudah pun mengeluarkan peringatan awal kepada semua peserta antarabangsa agar mematuhi undang-undang dan memasuki Indonesia melalui saluran yang betul demi kelancaran acara.