Ekoran aktiviti sukan lasak kenderaan pacuan empat roda (4×4) yang telah menyebabkan jalan rosak teruk, masyarakat Orang Asli suku Temiar di beberapa perkampungan di sini termasuk Pos Balar, Pos Tohoi dan Pos Gob merayu supaya tiada lagi aktiviti sukan berkenaan diadakan di kawasan mereka menjelang musim tengkujuh ini kerana ia menyukarkan penduduk yang menaiki motosikal untuk keluar masuk ke kampung mereka.

Menurut salah seorang penduduk di situ, Radi Uda, 51, dari Kampung Kajang berkata, jalan rosak menyebabkan kehidupan harian mereka terjejas terutama jika ingin keluar atau masuk ke kampung masing-masing.

Baca Juga:

“Jalan kami kini bermasalah akibat rosak teruk, jika orang kampung saja yang menggunakannya, ia tidak jadi (rosak) seperti ini. Apabila mereka (4×4) masuk untuk main (aktiviti sukan lasak) kami orang kampung yang terseksa.

“Bayangkan, dari kampung ini untuk keluar ke bandar Gua Musang saja memerlukan masa hampir 12 jam, jika keluar jam 8 pagi, jam 7 petang baru sampai,” katanya.

Tambah Radi lagi, beliau pernah mengambil masa lebih tiga jam untuk mendaki jalan tanah merah dan berbukit yang jaraknya hanya 100 meter dengan motosikal kerana jalan rosak teruk akibat hujan serta dilalui banyak kenderaan sukan lasak.

“Orang luar jangan bersikap pentingkan diri, mereka seronok bermain kereta seperti itu sedangkan kami di sini berdepan risiko terutama jika berlaku situasi kecemasan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, John Busu, 36, mendakwa sejak September lalu, lebih lima kali dia terserempak dengan kenderaan 4×4 yang menggunakan jalan di kawasan kampungnya bagi aktiviti sukan lasak.

Katanya, aktiviti seumpama itu tidak sepatutnya berlangsung di situ kerana itu saja laluan penduduk kampung untuk keluar masuk membeli barangan keperluan seperti susu, beras dan sebagainya.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu dalam kenyataannya memaklumkan penutupan sementara jalan ke Pos Gob bagi melancarkan kerja membaiki jalan serta pembinaan jambatan membabitkan penggunaan beberapa jentera berat.

Katanya, hanya pengguna motosikal dan 4×4 bagi kes kecemasan saja dibenar melalui jajaran jalan itu yang ditutup buat sementara bermula dari simpang Pos Simpor sehingga ke Pos Gob, lapor Berita Harian.

Semoga ‘suara’ yang dilontarkan oleh penduduk setempat kawasan-kawasan terjejas didengari orang ramai dan dibantu oleh pihak berkuasa setempat bagi menghadapi musim tengkujuh tidak lama lagi.

*Ikuti Facebook dan Instagram VOCKET CAR CLUB untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.

Sumber