Calon pemain warisan negara, Mats Deijl memastikan beliau tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Indonesia seperti yang tertulis di laman Wikipedia milik pemain itu.
Menurut perkongsian Future Talents, Deijl tidak mempunyai kaitan dengan Hindia Belanda atau Indonesia dan hanya mempunyai keturunan Malaysia.
Baca Juga:
- Pemain Kacukan ‘Gred A’ Dari England Bakal Sertai Harimau Malaya?
- Ferdy Druijf Sedia Kemuka Bukti Ada Darah Keturunan Malaysia
- ‘Ayah Dari Sabah’ – Ini Calon Pemain Warisan Terbaru Negara
Menurut laman itu, maklumat yang tertulis di Wikipedia adalah palsu dan proses untuk Deijl beraksi bersama skuad Harimau Malaya sudah bermula.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyatakan Mats Deijl telah menghubungi ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente dengan menyatakan minat untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan.
“Datuk dia dari Malaysia, jadi kita tengah proses, dia menghubungi pegawai kita dan Pau Marti untuk (nyatakan hasrat) dia nak main Malaysia,” katanya.
Deijl yang lahir di Vlaardingen beraksi di posisi bek kanan bersama kelab Liga Eredivisie Belanda, Go Ahead Eagles sejak tahun 2021.
Seorang lagi pemain yang bakal menyarung jersi Malaysia ialah Wan Kuzain Wan Kamal dimana pemain itu bakal menyertai skuad kebangsaan selepas pulih dari kecederaan.
“Dia sepatutnya dah join kita kali ini (Pestabola Merdeka). Dia telah hubungi saya beberapa kali, tetapi nasib tidak baik dia tengah cedera.
“Insya-ALLAH apabila dia dah pulih dan dapat pasport, dia main untuk Malaysia. Dia dah berapa kali telefon saya untuk menyatakan hasrat main untuk negara,” kata Hamidin.
Pemain berusia 25 tahun itu kini beraksi bersama pasukan divisyen 2 dalam sistem Liga Bola Sepak Amerika Syarikat, St Louis City 2.
Wan Kuzain pernah sertai kem latihan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara namun khidmat beliau gagal digunakan untuk saingan Sukan SEA 2019 disebabkan oleh masalah dokumentasi yang tidak dapat diselesaikan sebelum tarikh akhir pendaftaran pemain.