Dalam dunia bola sepak moden yang penuh dengan akademi elit dan sistem pembangunan canggih di Eropah, kisah Maycon Douglas Normanha Cardozo membuktikan bahawa bakat boleh lahir dari mana-mana sahaja, bahkan dari padang sekolah di Thailand.

Pada Mac lalu, pemain berusia 17 tahun itu mencipta detik penting dalam kariernya apabila membuat penampilan sulung bersama pasukan utama Bayern Munich dalam perlawanan Bundesliga menentang Borussia Mönchengladbach.

Bagi peminat bola sepak dunia, ia mungkin sekadar kemunculan seorang lagi pemain muda berbakat. Namun di sebalik detik itu, tersimpan sebuah perjalanan luar biasa yang bermula ribuan kilometer dari Jerman.

Permulaan Di Thailand

Walaupun dilahirkan di Sao Paulo, Brazil pada tahun 2008, kehidupan Maycon berubah apabila bapanya, bekas pemain bola sepak profesional Douglas Rodrigues, berhijrah ke Thailand untuk meneruskan kerjaya bola sepaknya.

Sejak kecil, Maycon sudah terbiasa dengan suasana bola sepak. Pada usia empat tahun, dia sudah mula menendang bola, dan bakatnya mula terserlah ketika menyertai akademi remaja Ratchaburi FC.

Maycon Cardozo: Pemain Warisan Yang Bermula Daripada Padang Sekolah Di Thailand Kepada Debut Bayern Munich

Di situlah asas permainan Maycon dibina, kawalan bola yang kemas, kelajuan kaki, dan keyakinan yang jarang dimiliki pemain seusianya.

Membesar Dalam Sistem Bola Sepak Thailand

Perkembangan Maycon tidak terhenti di situ. Dia kemudian menyertai Sports Thai Bavaria Academy di Bangkok, sebuah akademi yang mempunyai hubungan rapat dengan Bayern Munich.

Di akademi ini, Maycon sering bermain menentang pemain yang lebih tua daripadanya.

Walaupun mencabar, pengalaman tersebut sebenarnya mempercepatkan proses kematangannya sebagai pemain.

Dia juga pernah mewakili akademi Chainat Hornbill FC, malah membantu pasukan itu menjuarai FA Thailand Youth League musim 2022–23.

Selain itu, Maycon turut bermain untuk sekolahnya, Bangkok Christian College, sebuah institusi yang terkenal melahirkan bakat bola sepak di Thailand.

Menariknya, kehidupan Maycon di Thailand bukan sekadar di padang bola. Dia membesar seperti kanak-kanak tempatan lain — bersekolah di Bangkok, fasih berbahasa Thai, malah pernah muncul dalam rancangan bakat kanak-kanak terkenal Thailand, Super 10.

Tidak hairanlah ramai peminat bola sepak Thailand melihatnya sebagai “produk” bola sepak negara itu.

Pemantau Bakat Bayern Mula Tertarik

Bakat Maycon akhirnya menarik perhatian pencari bakat global Bayern Munich.

Melalui rangkaian pembangunan antarabangsa kelab itu, dia diberi peluang menyertai latihan bersama Bayern Global Academy sebelum dipilih ke dalam program pembangunan pemain antarabangsa mereka, Bayern World Squad.

Program ini diwujudkan khas untuk mencari bakat muda dari seluruh dunia yang berada di luar sistem bola sepak Eropah.

Pada awalnya Maycon tidak lepas untuk pusingan akhir ke Bayern Munich, namun takdir sudah tertulis untuknya. Ketika Bayern mengumpulkan semua pemain yang lulus ke peringkat akhir, salah seorang pemain tercedera dan tempatnya diisi oleh Maycon yang ketika itu berada dalam senarai simpanan.

Dan dia terus tidak menoleh ke belakang lagi. Impiannya terlalu besar, namun pemain berbadan kecil itu tak pernah gentar.

Maycon tidak mensia-siakan peluang tersebut. Dalam tempoh yang singkat, dia berjaya memikat hati jurulatih Bayern dan seterusnya diserap ke dalam sistem akademi kelab gergasi Jerman itu.

Dari Prospek Global Ke Pasukan Utama

Perjalanan Maycon di Bayern berlaku dengan sangat pantas. Dalam masa sedikit lebih setahun, dia berjaya naik dari status pemain prospek antarabangsa kepada pemain yang mula berlatih bersama skuad utama Bayern Munich.

Kemuncaknya tiba apabila dia diberikan peluang membuat debut dalam Bundesliga, satu detik yang bukan sahaja membanggakan dirinya, tetapi juga mereka yang pernah melihatnya bermain di padang kecil di Thailand.

Inspirasi Untuk Pemain Muda Asia Tenggara

Kisah Maycon Cardozo adalah bukti bahawa laluan ke pentas tertinggi bola sepak dunia tidak semestinya bermula di akademi besar Eropah.

Kadangkala, ia bermula dari padang sekolah, akademi kecil, dan negara yang jarang menjadi perhatian dalam peta bola sepak dunia.

Bagi pemain muda di Asia Tenggara, perjalanan Maycon membawa satu mesej jelas: