Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyatakan permohonan maaf kerana kadangkala pemandunya melanggar lampu isyarat merah.
Memetik Harian Metro, beliau berkata sedemikian mengulas satu video yang tular di media sosial berhubung kenderaan rasmi Menteri Besar yang melanggar lampu isyarat merah.
Baca Juga:
- Netizen Puas Hati Tengok ‘POV’ Pasukan FALCON JPJ Kejar Pesalah Langgar Lampu Merah, Potong Barisan

- Memandu Ikut Peraturan, Lelaki Ini Bingung Dituduh Langgar Lampu Merah Oleh Polis Trafik

“Saya akui kadangkala terpaksa melanggar lampu merah kerana perlu cepat sampai dan terdapat beberapa acara rasmi yang dirancang dalam sehari.
“Boleh tengok di Facebook saya, berapa program yang saya hadir dalam sehari,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO di Wisma Negeri baru-baru ini.
Tambah beliau, terdapat seorang pegawai polis dalam kenderaannya.
Memetik laporan itu lagi, pejabatnya juga telah menulis surat kepada pihak berkuasa berkaitan untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan.
“Kita terpaksa langgar (lampu isyarat merah), tetapi dalam keadaan berhati-hati dan menggunakan isyarat yang cukup kerana hendak segera sampai di lokasi.
“Saya minta maaflah, kalau tidak saya pun tak berani langgar. Biasanya pemimpin negeri diberi kelonggaran untuk hal atau perkara tertentu,” katanya.