Pengarah Kanan Perlumbaan McLaren, Randy Singh, menyifatkan kepulangan Formula 1 ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas hampir sedekad sebagai cabaran teknikal yang sangat menarik.
Keterbatasan data terkini membabitkan jentera generasi baharu menjadikan sesi ujian dan strategi pasukan berada di tahap paling kritikal.
Litar Sepang yang dikenali dengan selekoh kelajuan sederhana dan tinggi, trek lurus panjang, serta kadar kehausan tayar yang tinggi memerlukan imbangan jentera yang tepat.
Kenyataan Utama Randy Singh
Berikut merupakan fokus dan ulasan teknikal daripada Randy Singh mengenai persiapan pasukan McLaren:
Penyediaan Simulasi & Data Terhad:
“Kepulangan ke Sepang selepas hampir sedekad memberikan cabaran yang sangat menarik, terutamanya disebabkan kekurangan data terkini untuk jentera generasi baharu ini. Kami telah membuat persiapan rapi melalui simulasi, termasuk memberi masa kepada Lando (Norris) dan Oscar (Piastri) untuk mempelajari litar. Namun, ketepatan model litar dan pemahaman terhadap permukaan tar kekal menjadi faktor ketidakpastian yang penting buat prestasi tayar.”
Kepentingan Sesi Latihan Jumaat:
“Hari Jumaat akan menjadi amat berharga apabila para pemandu mula menyesuaikan diri dengan litar. Kami perlu bekerja keras mencari tetapan (setup) dan konfigurasi jentera terbaik, memahami karakter tayar, serta menilai potensi memotong di bawah regulasi unit kuasa dan jentera baharu.”
Pengimbangan Aerodinamik dan Pakej Naik Taraf:
“Dari sudut prestasi, Sepang menuntut imbangan teliti antara load (bebanan aerodinamik) dan drag (rintangan angin). Trek lurus panjang meletakkan keutamaan kepada pengoptimuman kuasa dan agihan tenaga, manakala kepelbagaian selekoh memberi kelebihan kepada jentera yang mempunyai load yang baik. Menyusuli pakej naik taraf besar di Azerbaijan, kami tidak membawa banyak komponen baharu ke Malaysia, cuma beberapa penyesuaian kit badan khas (circuit-specific bodywork).
Cabaran Strategi dan Faktor Cuaca Tropika:
“Dari segi strategi, Sepang secara tradisinya menekankan pengurusan kehausan tayar yang tinggi dan pemilihan turutan tayar terpantas. Namun, jika proses memotong menjadi lebih sukar di bawah regulasi unit kuasa baharu, imbangan strategi itu boleh berubah. Kebarangkalian hujan lebat pada sebelah petang juga menjadi bahagian penting dalam persiapan kami, memandangkan belum ada sesi perlumbaan basah secara kompetitif di bawah tetapan regulasi semasa.”
Litar Sepang menjadi pengalaman pertama buat kedua-dua pemandu McLaren, Lando Norris dan Oscar Piastri, beraksi secara rasmi di sini.